Penunggang motosikal maut bertembung pacuan empat roda

Iklan
Keadaan motosikal dan pacuan empat roda yang remuk akibat kemalangan tersebut. - Foto ihsan PDRM

BENTONG - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas tiga buah kenderaan di Kilometer 19 Jalan Karak-Kuala Pilah di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kemalangan kira-kira jam 3.20 petang itu melibatkan sebuah motosikal, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan pacuan empat roda.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa, S Vivakanandan, 33, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

"Hasil siasatan awal dan berdasarkan kesan-kesan kerosakan, dipercayai penunggang motosikal telah memotong MPV dan bertembung dengan pacuan empat roda serta tercampak lalu menyebabkan pacuan empat roda hilang kawalan dan melanggar MPV tersebut.

Iklan
MPV yang terlibat dalam nahas tiga buah kenderaan di KM19 Jalan Karak-Kuala Pilah pada Rabu. - Foto ihsan PDRM

"Penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pemandu MPV iaitu lelaki berusia 35 tahun dan pemandu pacuan empat roda, lelaki berusia 60 tahun tidak mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujar Zaiham, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

"Kita memohon kerjasama mana-mana pihak yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan," tambah beliau.