PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) membawa bekalan selesa menjelang perlawanan timbal balik suku akhir kedua Piala Malaysia selepas membelasah Negeri Sembilan FC, 3-0 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, pada Rabu.
Tampil dengan reputasi pasukan pilihan untuk mara kelompok empat terbaik, bintang muda Harimau Selatan, Arif Aiman Mohd Hanafi terlebih dulu meletakkan pasukan pelawat di depan hasil jaringan minit ke-20 menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan, Muhamad Firdaus Irman Mohd Fadhil.
Tersentak dengan jaringan itu, angkatan K Devan berusaha menyaingi kembali anak buah Estaban Solari bagi mencari gol penyamaan.
Namun mesin gol Harimau Selatan, Bergson Da Silva tampil melebarkan jaringan apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-31.
Sepakan penalti tercetus selepas tonggak skuad Rusa, Nasrullah Hanif Johan mengasari Bergson sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan dengan keputusan 2-0 memihak Harimau Selatan.
Separuh masa kedua, Devan melakukan beberapa perubahan taktikal menyaksikan tuan rumah berjaya menyaingi pasukan pelawat.
Bagaimanapun Bergson sekali lagi menjadi duri dalam daging pasukan tuan rumah apabila meledak gol kedua peribadi pada minit ke-91 untuk keputusan 3-0 berpihak Harimau Selatan di Paroi.
Kedua-dua pasukan akan berentap dalam perlawanan timbal balik kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 23 September ini.