'Sekurang-kurangnya satu emas' - Abu Samah

Iklan
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia Hangzhou 2022, Datuk Chong Kim Fatt (kanan) bersama Azizulhasni selepas beliau meninjau persiapan skuad berbasikal trek negara di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu. - Foto Bernama

PERSEKUTUAN Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak cenderung mengambil pendekatan 'berahsia' mengenai penetapan sasaran pingat pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022 di China.

Sebaliknya, badan induk berbasikal negara itu lebih bersikap 'terbuka' apabila mendedahkan sekurang-kurangnya mahu membawa pulang satu pingat emas dari bumi Hangzhou nanti.

Iklan
Iklan

Presiden PKBM, Datuk Abu Samah Abd Wahab berkata, sasaran itu bersandarkan prestasi pelumba negara diketuai Datuk Azizulhasni Awang pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACC) 2023 di Nilai, Negeri Sembilan, Jun lalu.

"Kalau ditanya soal sasaran pingat Sukan Asia kali ini, sudah tentu kami (PKBM) ada sasaran tersendiri walaupun kontinjen Malaysia tidak mendedahkan sasaran spesifik baru-baru ini.

Iklan

"Seboleh-bolehnya kami mahu satu pingat emas untuk mempertahan pingat emas yang dimenangi Azizul pada Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 di Indonesia.

"Mungkin boleh lebih satu emas (di Hangzhou), tetapi biarlah kami letak sasaran rendah sedikit. Bila dapat tinggi (dua emas), sudah tentu ia akan menjadi satu bonus,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.

Iklan

Untuk rekod, Azizulhasni mencipta sensasi di pentas ACC 2023 apabila menyambar dua pingat emas - masing-masing dalam acara keirin dan pecut individu.

Pada Sukan Asia 2018, Azizulhasni meraih emas acara pecut individu; perak (pecut berpasukan) bersama-sama Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Muhammad Fadhil Zonis dan gangsa (keirin).

Menjelang Sukan Asia Hangzhou 2022, Azizulhasni sekali lagi menjadi sandaran skuad berbasikal trek negara dalam menyumbang pingat terutamanya kilauan emas.

Namun, Azizulhasni dan Shah Firdaus tidak akan menyertai acara pecut berpasukan bagi membolehkan mereka mempunyai rehat yang cukup untuk menumpukan perhatian dalam saingan keirin.

"Penetapan sasaran pingat ini berdasarkan dua faktor. Pertamanya adalah menerusi prestasi pada ACC 2023 dan kedua, Azizul merupakan prospek emas pada Sukan Olimpik Paris 2024.

"Saya tidak pernah ragu-ragu dengan kemampuan Azizul kecuali jika dia berdepan masalah kesihatan. Tetapi saya harap dia akan terus kekal konsisten sehingga Olimpik Paris.

"Kita tidak boleh buat penilaian hanya berdasarkan prestasinya pada Kejohanan Dunia di Glasgow, Ogos lalu. Ketika itu, Azizul tidak cukup rehat ketika bersaing dalam acara keirin,” jelas Abu Samah.

Kontinjen Malaysia ke Hangzhou mempraktikkan pendekatan baharu dengan tidak lagi menggunakan sasaran pingat secara spesifik, sebaliknya menyasarkan keseluruhan 27 pingat tanpa mengira warna.

Terjun, badminton, berbasikal trek, ekuestrian, hoki, karate, memanah, olahraga, pelayaran, sepak takraw, skuasy, wusyu dan e-sukan sebagai sukan yang diletakkan sandaran pingat kali ini.