KIRA-KIRA 10 tahun atau 20 tahun lalu, kalau kita tanya kepada ibu ayah mahupun datuk kita macam mana suasana keharmonian hidup dan perpaduan antara kaum di Malaysia, pasti mereka akan jawab cukup harmoni.
Semua bangsa berkawan, bersahabat dan malah ada yang seumpama satu keluarga hidup aman damai, saling hormat menghormati dan menjaga antara satu sama lain.
Bagi mereka, tragedi 13 Mei 1969 sudah cukup untuk memberikan satu pengajaran mendalam betapa bahayanya apabila sentimen perkauman dan agama dimainkan sewenang-wenangnya.
Harga yang perlu dibayar atas kesilapan itu amat besar iaitu pertumpahan darah dan kekacauan dalam negara.
Selepas insiden hitam itu, seluruh rakyat memainkan peranan masing-masing untuk mengukuhkan semula perpaduan sebagai satu bangsa berdaulat dan merdeka.
Namun, selepas ledakan dunia digital dengan perubahan pembangunan serta proses urbanisasi, semangat perpaduan di Malaysia semakin hari semakin menipis. Perasan prejudis, saling menyentuh isu sensitif antara kaum dan agama semakin menular.
Sikap kau-kau, aku-aku semakin menebal terutamanya di kawasan perumahan bandar apabila konsep kejiranan harmoni sudah pudar.
Generasi muda kita juga semakin hanyut dengan pelbagai anasir luar yang dihidangkan melalui platform media sosial. Sehinggakan cara mereka berinteraksi dalam medium itu tanpa batas sempadan, tak melambang budaya Malaysia dan lebih menonjolkan identiti kebaratan.
Sebab itulah kalau kita lihat, setiap kali tiba Hari Merdeka mahupun Hari Malaysia, mereka hanya seronok menunggu acara sambutannya sahaja yang dipenuhi persembahan hiburan dan pertunjukan bunga api. Habis acara, cuma secebis rasa patriotisme masuk ke sanubari selebihnya hilang bersama larut malam.
Cara politik yang semakin rakus mengejar kekuasaan dan hampir menghalalkan segala cara dengan menyentuh isu 3R (agama, kaum dan raja) menjadi salah satu punca regangnya perpaduan kaum.
Malah ada segelintir masyarakat juga masih tidak peka dengan sensitiviti antara kaum sampai bertindak melampaui batas.
Sebab itulah kalau kita lihat sebenarnya kita semakin jauh daripada wajah Malaysia.