DUNGUN - Seorang ibu merayu bantuan orang ramai mendapatkan kaki palsu baharu untuk anaknya yang dianggarkan berharga RM17,800 bagi mempermudahkan pergerakan harian terutama ke sekolah.
Suri rumah, Shuhaila Norasmira Mohd Shukri, 33, berkata, anak ketiga daripada lima beradik itu, Nor Dhia Dhalieya Mohamad Nor, 9, atau lebih dikenali sebagai Dhia kehilangan kaki kiri ketika berusia tiga bulan akibat kemalangan kereta di Paka, dekat sini pada 2014.
Dengan nada sebak, Shuhaila Norasmira menyatakan akibat kejadian itu Dhia perlu menjalani empat pembedahan termasuk membuang sebahagian usus serta kehilangan kaki kiri.
"Kini Dhia guna kaki palsu untuk terus dapat berjalan namun kaki palsunya yang dipakai lebih setahun sudah rosak. Sebab itu saya pergi ke banyak tempat untuk mohon bantuan tapi masih tak dapat apa-apa maklum balas dan ada ditolak.
"Luluh hati saya tengok anak pergi ke sekolah dengan keadaan kaki palsu yang sudah rosak. Apakan daya saya bukanlah orang senang.
"Kalau saya mampu sudah pasti buat yang terbaik untuk Dhia tapi sebagai ibu, saya tetap usahakan juga untuk memastikan Dhia dapat guna kaki palsu baharu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Shuhaila Norasmira menceritakan pelbagai jalan dan usaha dilakukan termasuk membuat permohonan kepada pelbagai pihak bagi mendapatkan dana membeli kaki palsu untuk Dhia namun masih menemui jalan buntu.
Dia berkata, sudah membuat permohonan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM), kerajaan negeri Terengganu dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sejak Ogos lepas.
"Sebelum ini saya dapat bantuan oleh Hospital Rehabilitasi Cheras Kuala Lumpur namun pihak hospital sudah tiada peruntukan. Jadi mereka cadang pada saya untuk mohon bantuan daripada kerajaan Terengganu.
"Saya mohon dengan Maidam tetapi Maidam kata tak boleh sebab saya di bawah JKM. Jadi saya mohon pada JKM, mereka cakap tak ada peruntukan dan kemudian saya mohon pula pada kerajaan Terengganu namun masih juga tidak dapat," jelasnya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia bersama suami tidak berkemampuan untuk membeli sendiri kaki palsu itu yang berharga sebanyak RM17,800 selain hanya menerima bantuan bulanan JKM berjumlah RM200.
Menurutnya, dia merupakan seorang suri rumah dan suaminya pula bekerja sebagai buruh dengan meraih pendapatan sebanyak RM1,600 sebulan untuk meneruskan kelangsungan hidup termasuk keperluan Dhia.
"Setiap tiga bulan sekali, saya akan bawa Dhia pergi ke Hospital Rehabilitasi Cheras Kuala Lumpur untuk temu janji bersama doktor selain menerima rawatan susulan.
"Jadi segalanya menelan kos yang banyak termasuk kos pengangkutan dan penginapan selama berada di Kuala Lumpur," ujarnya.
Justeru, Norasmira sangat mengharapkan bantuan daripada orang ramai untuk meringankan beban yang ditanggung selain memastikan anaknya dapat menjalani kehidupan seperti insan biasa lain.
"Semoga ada pihak yang boleh bantu anak saya dapatkan kaki palsu. Saya risau anak saya pergi sekolah terjatuh sebab kaki palsu itu tidak lagi boleh berfungsi dan doktor beritahu perlu ada kaki palsu baharu untuk kegunaan Dhia," katanya.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai keadaan Dhia boleh menghubungi Shuhaila Norasmira di talian 019-9118395 dan bagi yang berhasrat untuk menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui nombor akaun Maybank 163082317078 atas nama Shuhaila Norasmira.