"SEKARANG ini, bukan tindakan yang bagus untuk tukar tuan rumah (jurulatih) sedangkan tuan rumah sudah tahu apa yang berlaku dalam rumah (pasukan) itu.”
Itu pandangan jurulatih berpengalaman, Wan Jamak Wan Hassan susulan desakan segelintir penyokong pasukan bola sepak negara yang mahu pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23), E Elavarasan dipecat.
Desakan itu timbul selepas Harimau Muda menampilkan persembahan kurang meyakinkan hingga menyaksikan skuad muda negara itu perlu menempah laluan berliku sebelum mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024.
Malah ia juga rentetan kegagalan skuad kendalian Elavarasan mencapai sasaran mara ke final pada Sukan SEA Kemboja 2023 dan Piala AFF B-23 bulan lalu.
Malah menurut Wan Jamak, dia percaya Elavarasan mempunyai pendekatan untuk memastikan Harimau Muda tampil lebih bagus sebelum menyingkap kempen kejuaraan tersebut pada 15 April sehingga 3 Mei tahun depan.
"Bola sepak permainan berpasukan dan tidak wajar menyalahkan jurulatih sahaja apabila keputusan kurang memuaskan.
"Jangan terus menuding jari, kerana saya percaya Elavarasan ada cara sendiri untuk membentuk semula kekuatan pasukan. Apa yang penting sekarang ini pasukan kita sudah layak dan kita masih ada masa untuk memperbaiki semula pasukan.
"Saya masih ingat Denmark (pada 1992) beraksi di Euro hanya dengan tiket wild card. Namun, mereka berjaya jadi juara. Situasi pasukan B-23 seakan sama dan tidak mustahil kita boleh membuat kejutan di sana,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Harimau Muda sebelum itu mengesahkan kemaraan ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara terbaik dalam aksi kelayakan yang berakhir pada Selasa.
Sebelum ini, skuad negara dijangka layak secara automatik selepas dibarisi pemain-pemain berkualiti termasuk kehadiran dua pemain berpangkalan di luar negara, Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.
Dalam pada itu, bekas pengendali kebangsaan itu mengakui terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki skuad muda negara.
"Saya percaya Elavarasan akan duduk dan berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk melihat semula kelemahan dalam pasukan. Menentang Bangladesh kita lambat dapat gol serta menentang Thailand kita bergelut sebelum tewas.
"Dalam bola sepak moden, bukan hanya taktikal dan teknik yang memainkan peranan. Banyak perkara yang menyumbang kepada permainan cemerlang pasukan seperti persiapan mental dan kemampuan pemain itu sendiri,” katanya.