Sifat penyayang tawan hati masyarakat Semenanjung, Sarawak di Sabah

Iklan
Sifat penyayang, baik hati, lemah lembut dan pemurah dalam kalangan masyarakat Sabah antara tarikan yang mendorong rakyat dari Semenanjung dan Sarawak memilih untuk menetap di negeri ini.(Gambar hiasan) - Foto 123rf

SANDAKAN - Sifat penyayang, baik hati, lemah lembut dan pemurah dalam kalangan masyarakat Sabah antara tarikan yang mendorong rakyat dari Semenanjung dan Sarawak memilih untuk menetap di negeri ini.

Tidak hairanlah jika ada yang jatuh hati pada Negeri di Bawah Bayu ini juga berjumpa dengan pasangan hati di sini.

Iklan
Iklan

"Kenangan manis saya di Sabah tentulah waktu saya berpacaran dengan isteri yang berasal dari Sandakan.

Kini, kami mempunyai dua anak dan tanpa disedari, sudah 28 tahun saya tinggal di Sabah,” kata usahawan Kelvin Kong, 53 dari Sibu, Sarawak.

Iklan

Kelvin berkata, beliau mempunyai terlalu banyak kenangan indah di Sabah, namun saat bertemu dengan isterinya merupakan momen terindah kerana mulai saat itulah beliau mengenali dan lebih mencintai Sabah.

"Masyarakat Sabah peramah, lembut berkata-kata dan menawan. Sabah juga diberkati dengan alam semula jadi yang tiada bandingan seperti Gunung Kinabalu, Banjaran Crocker, kepulauan, pantai, sungai jernih dan hidupan liar yang menakjubkan membuatkan saya terus menjadikan negeri ini rumah saya,” katanya.

Iklan

Kelvin berpendapat, rakyat Malaysia secara umumnya merupakan masyarakat yang sememangnya baik dan mengambil berat serta mencintai keamanan, oleh itu, pembahagian kekayaan negara dengan baik kepada negeri membangun seperti Sabah berupaya mengukuhkan perpaduan.

Abdul Rahim Harun, 33, seorang penjawat awam keselamatan berasal dari Melaka, juga bertemu jodoh di Sabah, tetapi bapa kepada dua anak itu pula mencintai negeri ini terlebih dahulu sejak ditempatkan untuk bertugas di negeri ini pada 2011, kerana banyak tempat mencabar untuknya melakukan satu daripada aktiviti kegemarannya iaitu mendaki.

"Banyak tempat menarik seperti gunung dan bukit yang seronok untuk buat aktiviti mendaki.

Lebih-lebih lagi apabila ada pasangan yang berkongsi minat sama.

Sekarang anak-anak kami juga berkongsi hobi serupa,” katanya sambil menambah beliau bertemu jodoh dengan gadis Sandakan pada 2015.

Abdul Rahim berkata sejak bertugas di Sabah, kehidupannya lebih baik kerana baginya, masyarakat Sabah lebih penyayang, baik hati dan pemurah.

Meskipun Sabah mempunyai pelbagai etnik, perbezaan tidak menghalangnya untuk bergaul dan menikmati keenakan pelbagai makanan tradisi.

Ramlah Bakar, 39, seorang guru berasal dari Kota Samarahan, Sarawak, juga tertarik dengan masyarakat berbilang kaum dan budaya di Sabah yang hidup dalam satu keluarga tanpa mengenal perbezaan sehingga membuatkan masyarakat lain selesa dan tidak kekok untuk menerima cara hidup demikian.

"Perpaduan tidak mengenal tempat, latar belakang, budaya dan ekonomi.

Kita haruslah saling melengkapi bagi meraikan integrasi silang budaya dalam kalangan kita dan dengan kesepakatan bersama, barulah kita akan dapat mengukuhkan kestabilan ekonomi dan politik sesama kita,” katanya.

Beliau yang menetap dan berkhidmat di Sabah sejak 13 tahun lepas, tertarik dengan aspek budaya masyarakat di negeri ini yang mesra dan mudah didekati tanpa mengenal kaum mahupun tempat.

Menurutnya, keramahan masyarakat itu mendorongnya menjelajah seluruh Sabah yang menjadikan pengalamannya unik dan lebih bernilai, di samping menghayati keindahan alam semula jadi yang memukau, yang baginya tidak menjemukan.

Bagaikan berada di kampung halaman sendiri, itulah kata-kata diluahkan Syamsuddin Kahar, 38, berasal dari Pontian, Johor yang tinggal di Tuaran sejak kira-kira lima tahun lepas setelah berpindah atas dasar tugas sebagai seorang anggota tentera.

"Asalnya susah juga sesuaikan diri kerana cara hidup kita berlainan dengan di Johor terutama saya ini orang Bugis, tetapi lama-lama saya jumpa banyak persamaan terutama dengan (etnik) Bajau Samah di Tuaran, juga Bugis di Tawau.

"Jadi rasa macam berada di kampung sendiri,” katanya menambah antara persamaan Bugis dan Bajau Samah, kedua-dua etnik ini handal dalam pelayaran serta menunggang kuda.

Beliau berkata selain persamaan dari segi etnik budaya dan kehidupan, sikap ramah serta penyayang rakyat Sabah yang mudah menerima orang luar sebagai ahli keluarga sendiri amat dihargai serta mengubat kerinduan kepada ibu bapa serta keluarganya di Semenanjung. - Bernama