JEMPOL - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan kini memantau keadaan kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang diselamatkan polis selepas disyaki menjadi mangsa dera ayah kandung dan ibu tirinya sejak Mac lalu.
Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, mangsa masih dirawat di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah, namun dilaporkan berada dalam keadaan baik.
"Keadaan kesihatan mangsa dalam keadaan baik, namun masih diberi rawatan serta dipantau. Keadaan emosinya juga semakin baik.
"Nenek sebelah bapa mangsa ada menemaninya di wad dan JKM akan memantau keadaannya dari semasa ke semasa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.
Berkenaan adik beradik tiri mangsa, kata Rosnah, mereka yang berusia empat, tiga dan satu tahun tiga bulan pula kini berada di bawah jagaan nenek sebelah ibu mereka di Jempol.
Tambahnya, mereka semua berada dalam keadaan baik dan tiada tanda-tanda penderaan.
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, bapa kandung dan ibu tiri mangsa ditahan selepas disyaki menderanya dalam kejadian di Bahau, Jempol pada Selasa.
Kejadian itu terbongkar selepas mangsa yang merupakan anak sulung daripada empat beradik melarikan diri dari rumahnya setelah tidak tahan diperlakukan sedemikian oleh pasangan tersebut.
Ketua Polis daerah Jempol, Superintenden Hoo Chang Hook berkata, mendapat maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 2.30 petang sebelum diselamatkan oleh pihak polis.
"Terdapat kesan luka pada bahagian badan mangsa yang kemudiannya dibawa ke Hospital Jempol untuk rawatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati mangsa didera sejak Mac lalu hingga kini, mangsa telah dipukul oleh ibu tiri dan bapa kandungnya menggunakan tangan, senduk kayu, ditendang dan dirotan,” katanya.