Johor mampu membangun seperti Shenzhen, China

Iklan
ONN HAFIZ

ISKANDAR PUTERI - Johor akan berkembang maju seperti bandar Shenzhen, China hasil daripada Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura yang giat dibangunkan.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, SEZ bukan perkara baharu kerana Shenzhen yang berjiran dengan Hong Kong telah membangunkan zon ekonomi dan berubah dalam tempoh empat dekat menjadi bandar ketiga terbesar di China.

Iklan
Iklan

"Apa yang dicapai oleh Shenzhen, China membuktikan bahawa SEZ Johor-Singapura boleh membuahkan hasil yang terbaik untuk negeri Johor namun perkara ini pastinya memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak, kerajaan Singapura dan kerajaan Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) mengenai status terkini rancangan mewujudkan SEZ Johor- Singapura di pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

Iklan

Onn Hafiz (BN-Machap) berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya, Lee Hsien Loong akan mengadakan pertemuan Pemukiman Pemimpin di Singapura pada Oktober ini.

Jelasnya, pertemuan itu akan disusuli dengan persetujuan Terms of Reference (TOR).

Iklan

"Antara objektif utama menubuhkan SEZ Johor-Singapura adalah bagi memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara dua negara di mana ia akan meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan dan pentadbiran yang berkesan.

"Cadangan penubuhan ZES yang melibatkan sempadan dua negara berbeza ini bakal menjadi yang pertama seumpamanya di dunia. Perkara ini dapat memperkasakan sektor industri berteknologi tinggi antaranya elektrik dan elektronik, farmaseutikal, sektor automotif/ kenderaan elektrik (bahagian dan komponen), pertanian dan hortikultur serta tenaga boleh diperbaharui," katanya.

Bagi memastikan agenda SEZ ini berjaya, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri harus bersedia dengan insentif-insentif yang mampu dan boleh menarik ramai pihak ke zon khas ini.

Katanya, antara perkara yang boleh dilaksanakan ialah Insentif kemasukan visa pelbagai, pas khas/laluan khas, insentif percukaian khas, pengecualian lesen perniagaan, infrastruktur yang baik dan ketersediaan pekerja berkemahiran.

"Ditambah lagi kedudukan Johor yang strategik, pelabuhan-pelabuhan bertaraf antarabangsa, ketersediaan tanah untuk dibangun dan dimajukan menjadikan Johor dalam kedudukan terbaik untuk menjayakan SEZ ini," katanya.