PETALING JAYA - Kerajaan memberikan sokongan penuh kepada industri umrah, haji serta pelancongan yang memberikan sumbangan besar kepada ekonomi negara.
Setiausaha Politik, Datuk Azman Abidin yang mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pihak kerajaan membuka pelbagai peluang kepada pelabur dalam dan luar negara serta mengalu-alukan sebarang idea, cadangan dan maklum balas daripada pengendali umrah, haji serta pelancongan Islam.
"Industri tersebut mampu menyumbangkan antara RM80 bilion hingga RM100 bilion setiap setahun, tambahan pula sektor pelancongan menuju pelancongan Islam. Seramai 300,000 rakyat Malaysia menunaikan umrah dan 35,000 jemaah haji saban tahun.
"Inisiatif yang dibawakan oleh pihak Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) untuk menganjurkan AITEX, mampu membina Malaysia sebagai Hab Serantau Umrah, Haji dan Pelancongan Islam," katanya ketika merasmikan Asia Islamic Tourism Expo 2023 (AITEX 2023).
Majlis julung kali diadakan itu menampilkan persidangan dan pameran haji, umrah serta pelancongan Islam selama tiga hari di Hotel Sunway Resort dan Sunway Pyramid Convention Centre, Bandar Sunway pada 13 hingga 15 September 2023 lalu.
Antara tetamu yang hadir, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akhbar Khan; Pengerusi World Islamic Tourism Award (WITA), Datuk Noorzaleha Baharuddin; Presiden Asosiasi Muslim Penyelenggara Haji dan Umrah, Republik Indonesia, Bapak Firma Muhammad Nur dan Pengerusi Penganjuran AITEX, Datuk Jefferi Sulaiman.
Majlis dimulakan dengan bacaan al-Quran yang dibimbing oleh Qari My #QuranTime, Ustaz Ahmad Tirmizi Ali dan ditadabbur oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah merangkap Pentadabbur My #QuranTime, Fazrul Ismail.
Fazrul yang bertadabbur Surah Muhammad ayat 10 dan 24 berkata, pemain industri pelancongan, umrah dan haji dalam memasarkan dan mempromosikan perjalanan ke seluruh dunia sebagai tanda kesyukuran kepada ALLAH SWT yang menciptakan alam semesta ini.
Menurutnya, aktiviti melancong juga boleh menjadi platform penyembuhan hati yang sakit dan masyarakat digalakkan untuk pergi bersiar-siar ke seluruh dunia untuk menikmati keindahan alam.
"Program pelancongan dengan garapan tadabbur al-Quran dan tafakur alam dapat memberi pengalaman perjalanan yang penuh bermakna dan dapat mendekatkan diri pelancong kepada ALLAH SWT.
"Berbeza dengan mereka yang melancong tanpa pengisian tadabbur atau panduan al-Quran, ia lebih memenatkan, seronok seketika dan wang yang digunakan tidak dimanfaatkan. Kemuncak perjalanan ke destinasi adalah haji dan umrah yang mampu menjadi mereka lebih baik.
"Kita berharap industri pelancongan, haji dan umrah dengan pengisian tadabbur al-Quran mampu membina rakyat lebih baik,” jelas beliau
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, sesi tadabbur al-Quran yang pertama kali dibawakan pada majlis pelancaran ini sebagai menambah nilai kepada industri pelancongan dengan memasakkan hala tuju dengan al-Quran.
Mereka yang yang pertama kali mendengar dan mengikuti tadabbur diharapkan dapat memahami maksud sebenar pelancongan dan penghijrahan yang ada faedahnya berdasarkan panduan al-Quran.
Tambahnya, AITEX menjadi platform perjumpaan antara pengendali industri pelancongan, haji dan umrah dan pengguna dari dalam serta luar negara.
Menurutnya, seramai 44 pempamer dari dalam dan luar negara menyertai Pameran AITEX 2023 yang diadakan di Sunway Pyramid Convention antaranya Bangladesh, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Indonesia, Singapura, Selatan Thailand, Vietnam, Emiriah Arab Bersatu, Oman, dan Iran.
"AITEX 2024 dijangkakan akan mendapat lebih ramai penyertaan dari dalam dan luar negara untuk bersama mempromosi industri pelancongan Islam, umrah dan haji. Industri tersebut mampu menyatukan semua masyarakat di dunia,” katanya.