KUALA LUMPUR - Gara-gara Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan isu tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggunakan helikopter ketika kempen pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini, Dewan Rakyat kecoh dengan pertikaman lidah antara ahli Parlimen.
Situasi itu bermula apabila Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) bangkit mencelah dan meminta Ketua Whip Pembangkang itu menarik balik dakwaan terhadap Ahli Parlimen Tambun, sekali gus menyifatkan kenyataan tersebut berniat jahat.
Takiyuddin (PN-Kota Bharu) yang tidak mengendahkan celahan itu meneruskan ucapannya dan menyebabkan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) bangun menggunakan Peraturan Mesyuarat menyatakan Tze Tzin mengganggu ucapan.
Timbalan Speaker, Datuk Ramli Mohd Noor kemudian menegur Tze Tzin dan meminta tidak mengganggu ucapan kerana Takiyuddin tidak membenarkan pencelahan.
Sebaliknya Tze Tzin menegaskan beliau juga menggunakan Peraturan Mesyuarat untuk mencelah kerana Ahli Parlimen Kota Bharu mengemukakan hujah berdasarkan kenyataan di media sosial.
"Kota Bharu membuat kenyataan berdasarkan tuduhan netizen dan (beliau) tidak sepatutnya ambil laporan Facebook dan TikTok, ini bukan kebenaran tetapi dakwaan jahat," tegasnya.
Ramli kemudian mencadangkan supaya Tze Tzin mengemukakan usulkan berhubung perkara itu kerana Takiyuddin berbahas dengan mengemukakan dokumen yang merujuk laporan media di luar Dewan Rakyat.
Tidak berpuas hati dengan jawapan itu, Dr Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani) bangun meminta Takiyuddin menarik balik dakwaan menyatakan Perdana Menteri menolak mengambil elaun baik pulih rumah hanya kerana hendak mengambil peruntukan menggunakan helikopter.
"Yang Dipertua, Kota Bharu buat sangkaan jahat dengan menyatakan PM menolak menerima baik pulih rumah untuk tujuan menggunakan helikopter, itu sangkaan jahat. Minta tarik balik,” tegasnya.
Mempertahankan tindakan Takiyuddin, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) meminta ahli Parlimen kerajaan tidak mencelah menggunakan peraturan mesyuarat hanya untuk mengganggu sesi perbahasan.
Ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), Takiyuddin berkata, Anwar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menggunakan tiga buah helikopter untuk menghadiri Karnival Usahawan Desa di Sungai Besar, Selangor pada Julai lalu.
"Mereka menggunakan tiga buah helikopter yang mana beberapa hari sebelum itu, JKR (Jabatan Kerja Raya) Sungai Besar terpaksa menghabiskan berpuluh ribu ringgit untuk membuat helipad bagi membolehkan PM mendarat di situ.
"Yang melucukan lagi, rakyat Sungai Besar memberi kepada saya satu petikan (laporan) Sinar Harian yang memetik ucapan PM yang bertajuk ‘PM tolak perbelanjaan baik pulih kediaman dan kereta untuk bantu golongan sasar’.
"Sebenarnya tidak mengambil peruntukan kereta kerana dia nak guna helikopter,” katanya.