Perkasa guru era pembelajaran digital

Iklan
Marzita (tengah) ketika pelancaran dan latihan guru program pensijilan TM Future Skills anjuran Creative Minds dan Yayasan TM di sebuah hotel di Indera Mahkota di sini pada Khamis.

KUANTAN - Seramai 100 guru daripada 50 sekolah di pantai timur didedahkan program pensijilan TM Future Skill 2023 sebagai usaha meningkatkan kemahiran warga pendidik dalam era pembelajaran digital.

Timbalan Pengarah, Bahagian Profesionalisme Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dr Marzita Abu Bakar berkata, inisiatif ini dapat melengkapi guru-guru dengan kemahiran yang diperlukan untuk mengajar pelajar mengenai teknologi digital terkini dan kemahiran masa depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peranan guru selain mengajar fakta dan formula, mereka juga perlu mempersiapkan generasi muda dengan pembelajaran inovatif dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di sekolah di Pantai Timur bagi menghadapi dunia yang sentiasa berubah.

"Dunia teknologi bukan sahaja mempengaruhi cara kita bekerja, tetapi juga cara kita berfikir, berkomunikasi dan berinteraksi.

Iklan

"Justeru, guru seharusnya mempunyai kemahiran seperti pemikiran kritis, kerjasama, kemampuan beradaptasi dengan teknologi sekali gus dapat memberikan kejayaan kepada pelajar," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran dan latihan guru program pensijilan TM Future Skills anjuran Creative Minds dan Yayasan Telekom Malaysia (TM) di sebuah hotel di Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Sebahagian peserta sedang meneliti peralatan cetakan 3D pada program pensijilan TM Future Skills anjuran Creative Minds dan Yayasan TM di sebuah hotel di Indera Mahkota di sini pada Khamis.

Iklan

Sasaran program pensijilan ini berorentasikan STEM kepada keluarga kategori B40 di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Tiga modul utama diperkenalkan menerusi program pensijilan TM Future Skills bagi membantu memperkukuhkan kemahiran pelajar dari sudut pengaturcaraan, robotik, rekaan 3D dan analisis data.

Mengulas lanjut mengenai program tersebut, Marzita berkata, ia dapat memberi platform kepada guru dan pelajar bagi meningkatkan pengetahuan, mengasah kemahiran serta mempersiapkan diri untuk pasaran pekerjaan yang kompetitif.

"Saya amat bangga melihat inisiatif seperti ini dilancarkan, kerana ia menunjukkan komitmen kita sebagai negara untuk terus berinovasi, berkembang, dan membina masa depan yang cemerlang untuk rakyat kita.

"Bagi pihak KPM, Saya berharap program ini bukan sahaja akan memberi kita pemahaman yang lebih mendalam mengenai kemahiran masa depan, tetapi juga memberikan inspirasi untuk kita semua terus berusaha dan berinovasi," katanya.