Anjur ceramah tanpa tauliah, YDP Pas Kangar dihadap ke mahkamah

Iklan
Yussaine Yahya (tengah) membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah. - Foto Awani

KANGAR - Yang Dipertua Pas Kangar dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Perlis, pada Khamis atas pertuduhan menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam negeri menerusi penganjuran ceramah agama tanpa tauliah di Kangar pada 30 Mac lalu.

Yussaine Yahya, 43, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Syariah, Mohamad Zaidi Abdullah.

Iklan
Iklan

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang juga mudir sebuah maahad tahfiz al-Quran di Kangar didakwa menganjurkan satu ceramah agama dengan menjemput pendakwah bebas, Mohamad Wadi Anuar Ayub melalui program ‘Solat Tarawih dan Sembang Santai’ tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis berdasarkan Seksyen 118 Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2006.

Selain itu, perbuatan yang dilakukan turut bertentangan dengan Titah Kenyataan Rasmi Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail mengenai Pematuhan Terhadap Dasar dan Peraturan Berkaitan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis.

Iklan

Tertuduh didapati melakukan perbuatan berkenaan antara jam 8.30 malam hingga 10.30 malam di Maahad Tahfiz al-Quran Al Imam An Nawawi (MATIN) di Kampung Abi Padang Machang, Jalan Abi Batas Paip, Kangar pada 30 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 38 Enakmen Jenayah Dalam Syarak 1991 kerana menghina kuasa raja pemerintah dan badan agama Islam yang lain.

Iklan

Pendakwaan dilaksanakan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Siti Fatimah Ahmad Maulana manakala tertuduh diwakili peguam, Siti Hajar Ahmad dan Nur Iman Nor Azmi.

Siti Fatimah memohon mahkamah supaya memberi jaminan sebanyak RM2,500 dengan dua penjamin di mana salah seorang daripadanya adalah penjawat awam.

Namun permohonan itu dibantah oleh peguam tertuduh dengan alasan tidak relevan.

Pasukan peguam turut memohon agar jaminan tertuduh dapat dikurangkan.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pasukan peguam tertuduh untuk tertuduh dijamin sebanyak RM2,000 dengan dua orang penjamin.

Tertuduh kemudian membayar jaminan dan mahkamah menetapkan 18 Januari tahun hadapan untuk perbicaraan semula kes.

Terdahulu, lebih 50 penyokong Yussaine yang dikenali sebagai Ustaz Yussaine berkumpul di pekarangan mahkamah syariah itu sejak jam 8 pagi bagi menunjukkan sokongan dan solidariti.

Suasana bagaimanapun terkawal dengan kehadiran anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perlis dan Ibu Pejabat Polis Daerah Kangar.

Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) memanggil Mohamad Wadi Annuar atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi serta penganjur, Lajnah Dakwah dan Perkaderan Pas Kangar untuk memberi keterangan berhubung penyertaan pendakwah itu pada program berkenaan yang diadakan tanpa mendapat tauliah daripada Jabatan Mufti Perlis pada 30 Mac lalu.

Ini berikutan satu laporan polis dibuat di Balai Polis Kangar oleh JAIPs selepas anggota penguat kuasa mereka dihalang oleh penganjur daripada bertemu dengan Ustaz Wadi yang mahu mengambil keterangan berhubung tindakan memberi ceramah di negeri ini. - Awani