SELEBRITI dan ahli perniagaan Amerika Syarikat, Paris Hilton menggembirakan peminatnya dengan penampilan di KL Sogo pada petang Rabu.
Kehadirannya itu bersempena pelancaran wangian ke-30 beliau yang diberi nama Ruby Rush.
Ratusan peminat berkumpul di pusat pusat beli-belah untuk menyambut ketibaan selebriti berusia 42 tahun itu.
Di media sosial, kehadiran bekas bintang The Simple Life itu menarik perhatian bukan sahaja kerana sikapnya yang ramah dan tidak kekok melayan peminat, tetapi juga penampilannya yang sopan dalam setiap kemunculan sepanjang berada di negara ini.
Hilton juga nampaknya berterima kasih dengan sambutan peminat apabila menyiarkan semula beberapa ciapan peminat di platform X.
Sebelum ke Malaysia, Hilton turut melancarkan wangian yang sama di Bangkok, Thailand pada Isnin.
Ini bagaimanapun bukanlah penampilan umum pertama Hilton di Malaysia.
Pewaris empayar Hilton itu pernah hadir ke Malaysia pada Januari 2015 untuk satu acara di Petaling Jaya.
Hilton kemudian kembali ke sini pada Oktober 2015 untuk melancarkan wangian edisi terhadnya. - Awani