Tekong bot jumpa mayat terapung

Iklan
Mayat tersebut dibawa ke Jeti ZMTS untuk tindakan lanjut pihak polis.
KOTA TINGGI - Mayat yang dipercayai telah seminggu terapung di laut dijumpai kira-kira 8 batu nautika Timur Tanjung Kelisa, petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS), Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, aduan berkenaan penemuan mayat itu diterima Maritim Rescue Sub-Coordination Centre (MRSC) Johor Bahru dari seorang tekong bot.

Menurutnya, tekong berkenaan menjumpai mayat tersebut ketika dalam perjalanan pulang ke Tanjung Sedili kira-kira jam 6.05 petang.

"Bertindak atas aduan itu, ZMTS telah mengatur gerak sebuah bot ke lokasi kejadian. Sejurus tiba di lokasi, pihak kami menemui mayat terapung yang masih berbaju dan berseluar berwarna hitam.

"Dipercayai mayat berkenaan telah seminggu terapung di laut manakala identitinya tidak diketahui. Mayat tersebut kemudian dibawa oleh bot ronda ke Jeti ZMTS untuk tindakan lanjut pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Maritim Malaysia mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tekong bot Jamil Abd Gani tekong bot nelayan tempatan dan semua kru atas sikap tanggungjawab ditunjukkan.

Katanya, tekong dan kru bot sanggup menunggu mayat tersebut sehingga diselamatkan Maritim Malaysia.

"Sikap tanggungjawab beliau dan kesediaan bekerjasama dengan pihak berkuasa amat dihargai," katanya.