Harga beras Thailand pun naik

Iklan
Syed Araniri berada di sebuah kedai menjual beras di Yala, Thailand pada Rabu.

ALOR SETAR - Harga semasa beras di negara Thailand dilaporkan turut mengalami kenaikan harga seperti yang berlaku kepada harga beras import di negara ini.

Seorang penduduk Dan Nok, Thailand, Abdullah Yerenapoh, 55, berkata, bagi beras berat lima kilogram (kg), ia dijual antara 139 Thai Baht hingga 199 Thai Baht (RM18.50 hingga RM26.50) mengikut jenama beras.

Iklan
Iklan

Bagi beras 10kg pula dijual di antara 350 Thai Baht hingga 450 Thai Baht (RM46.60 hingga RM60) juga mengikut jenama masing-masing.

Menurutnya, harga yang dijual tersebut dilihat tidak jauh berbeza dengan harga beras import yang dijual di Malaysia.

Iklan

"Harga beras di sini pun memang ada naik juga," katanya kepada Sinar Harian menerusi khidmat pesanan ringkas (sms) pada Khamis.

Sementara itu, seorang rakyat Malaysia, Syed Araniri Syed Ahmad Al Edroos yang sering berulang-alik ke Thailand atas urusan perniagaan berkata, kenaikan harga beras di negara tersebut juga turut berlaku.

Iklan

"Di sana (Thailand) juga mengalami kenaikan harga beras walaupun mereka tidak import beras.

"Apabila ditanya, ada kesan atau tidak kenaikan harga beras, mereka jawab, apa sahaja mereka kena terima," kata Pengurus World Peace ketika dihubungi pada Khamis.

Terdahulu tular sebuah video yang dimuatkan di platform media sosial seorang lelaki meninjau harga beras di sebuah kedai di Thailand.

Menurutnya, beras 5kg didapati lebih banyak dibungkus berbanding beras 10kg kerana permintaannya lebih tinggi.

"Di Thailand beras 10kg paling murah RM37, tapi paling murah kualitinya lebih elok dari beras di Malaysia, tidak ada beras hancur.

"Bagi saya harga beras di sini pun mahal juga. Harganya naik juga sedikit demi sedikit," kata lelaki tersebut.

Pada 7 September lalu, Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras, Datuk Azman Mahmood mengakui berlakunya kenaikan beras import di pasaran Malaysia.

Menurutnya, kenaikan beras import itu berkait dengan langkah Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang menyelaraskan harga jualan beras putih import kepada RM3,200 per tan metrik berkuatkuasa mulai 1 September.

Jelas beliau, pasaran dunia juga menyaksikan kenaikan harga bagi beras import.

"Beras import memang ada kenaikan. Baru-baru ini pada 1 September, Bernas naikkan harga beras kepada pemborong 3,200 per tan metrik," katanya.