GEORGETOWN - Sebanyak 358 pusat asuhan kanak-kanak, taska dan tadika didapati beroperasi secara haram di Pulau Pinang.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, daripada jumlah berkenaan, 60 daripadanya adalah taska, 52 pusat jagaan kanak-kanak manakala 246 adalah tadika.
Menurutnya, setakat ini hanya 126 taska, 96 pusat jagaan kanak-kanak dan 287 tadika yang berdaftar.
"Kita ingin mengambil kesempatan ini untuk menyarankan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke pusat jagaan yang berdaftar.
"Bila pusat jagaan ini sah dan berdaftar, pihak berkuasa boleh memastikan kebersihan, keselamatan dan standard pendidikan dipatuhi. Keadaan ini akan mengurangkan risiko penularan penyakit.
"Kita juga boleh memastikan alat mainan dan kawasan dalam pusat jagaan sering disanitasi serta memupuk budaya cuci tangan dalam kalangan kanak-kanak," katanya pada sidang akhbar di Komtar pada Khamis.
Kata beliau, sekiranya kanak-kanak dihantar ke pusat jagaan yang berdaftar, ia boleh mengurangkan risiko penularan penyakit.
Selain itu katanya, pusat jagaan kanak-kanak yang berdaftar juga membolehkan pengusaha taska dan pusat jagaan kanak-kanak mendapat sokongan daripada agensi kerajaan dalam mengawal penyakit seperti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).
"Pendaftaran pusat jagaan membolehkan Jabatan Kesihatan mengumpul data seperti kes pecahan HFMD. Dengan maklumat ini, tindakan cepat dan tepat dapat diambil untuk mengawal penularan.
"Pusat jagaan yang sah biasanya mengambil pekerja yang terlatih dan tahu mengenali gejala awal HFMD, mereka lebih cekap mengasingkan kanak-kanak yang dijangkiti dan mendapatkan rawatan sekiranya perlu, serta mengurangkan risiko penularan," katanya.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi berkata, 5,335 kes HFMD di Pulau Pinang direkodkan sejak awal tahun sehingga minggu epidemiologi(ME) 36/2023 pada 9 September lalu.
Beliau berkata, jumlah itu menunjukkan penurunan 15 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.
"Berdasarkan statistik, majoriti kes HFMD di Pulau Pinang adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 4,298 kes atau 80.6 peratus bagi tempoh yang sama.
"Bagi tempoh sama pada tahun lepas sebanyak 6,267 kes HFMD direkodkan di Pulau Pinang namun pada tahun ini ia menurun sehingga 15 peratus.
"Hasil analisa sehingga ME 36/23 mendapati, 95.7 peratus kes tersebut berlaku dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dengan majoriti kluster HFMD berlaku di institusi pendidikan serta pusat jagaan," katanya.
Tambah Daniel, setakat ini tiada kes HFMD di negeri ini yang dilaporkan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital dan tiada kes kematian membabitkan penyakit tersebut.
"Laporan HFMD menunjukkan daerah Timur Laut merekodkan kes tertinggi iaitu 1,507 diikuti Barat Daya sebanyak 1,214 kes, Seberang Perai Tengah (1,062 kes), Seberang Perai Utara (800 kes) dan Seberang Perai Selatan merekodkan sebanyak 752 kes.
"Pusat jagaan kanak-kanak, tadika, taska merupakan tempat berisiko berlakunya kluster HFMD dan pada tahun ini sejumlah 61.2 peratus daripada bilangan kluster yang di rekodkan melibatkan kes yang kecil iaitu dua hingga empat kes," katanya.
Jelasnya, berdasarkan statistik, bilangan kluster mengikut lokaliti ialah 50 tadika, taska(33), tabika (11), pra-sekolah(11) dan 12 buah sekolah rendah serta empat premis membabitkan pusat jagaan dan rumah persendirian.