Penduduk tak lena tidur gajah liar musnahkan tanaman

Iklan
Dari kiri: Mohd Isa, Azmi dan Said meninjau kawasan kebun di Kampung Bukit Munduk, Setiu yang dimusnahkan oleh sekumpulan gajah liar. (Gambar kecil: Kesan tapak kaki gajah)

SETIU - Penduduk yang tinggal di tiga buah kampung di daerah ini terganggu apabila sekumpulan gajah liar memasuki kawasan berdekatan kediaman dan memusnahkan tanaman diusahakan sejak minggu lalu.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Bukit Munduk, Azmi Kasim, 57 berkata, antara tanaman terjejas ialah pisang dan kelapa sawit dengan nilai kerugian mencecah ribuan ringgit.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, tiga buah kampung dimasuki sekawan gajah liar itu melibatkan Kampung Bukit Munduk, Kampung Hulu Sat Sat dan Kampung Alor Lik.

"Ada yang tidak lena tidur sebab bimbang kumpulan gajah itu menceroboh kawasan rumah dan tanaman. Kalau ikutkan terdapat pagar bagi kawasan kebun tetapi telah dimusnahkan dan ia (gajah) masuk melalui pagar itu," katanya ketika ditemui pemberita pada Khamis.

Iklan

Sementara itu, beberapa penduduk meluahkan kebimbangan sekiranya masalah pencerobohan gajah liar yang dialami tidak ditangani segera.

Seorang pekebun, Said Sulung,70, berkata, kehadiran gajah-gajah itu menjejaskan sumber pendapatannya kerana setakat ini dia bergantung kepada hasil sawit untuk menanggung keluarga.

Iklan

"Kita minta kerajaan dapat bantu untuk ambil tindakan bagi menangani masalah ini sebab kalaulah sawit-sawit ini dimusnahkan, hilanglah mata pencarian kami penduduk kampung di sini.

"Nak harapkan hasil getah sekarang ni dah tak merasa. Harapkan sawit je la. Kalau tak ada tindakan dia (gajah) masuk kali kedua, ketiga susahlah orang kampung," katanya.

Seorang lagi pekebun, Mohd Isa Ishak, 34, berkata, situasi itu pertama kali dialami oleh penduduk di kawasan Kampung Bukit Munduk dan ia menimbulkan kebimbangan terutama melibatkan aspek keselamatan.

"Pihak berkuasa seperti Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) perlu ambil tindakan sebab sebelum ni hanya libatkan kampung sebelah tapi sekarang gajah-gajah ini sudah sampai ke kampung ini.

"Kita bimbang gajah-gajah ini datang dekat dengan rumah penduduk. Takut kalau berlaku apa-apa yang tidak diingini," luahnya.

Senada dengan Mohd Isa, Ahmad Mat Amin, 68, berkata, kejadian kebun diserang gajah pertama kali dialaminya sejak mengusahakan tanaman kelapa sawit.

"Ini kali pertama kebun saya diserang gajah liar. Saya pun terkejut sebab habis pokok kelapa sawit yang saya tanam musnah dimakan gajah.

"Jadi kita harap pihak berkuasa dapat ambil tindakan bagi mengelak keadaan itu berlarutan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya sedang memantau bagi menjalankan operasi menangkap haiwan itu untuk dilepaskan ke kawasan lebih selamat.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat tindakan sendiri yang berisiko mengancam keselamatan nyawa.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mendekati atau bertindak sendiri jika terserempak dengan haiwan itu. Jika ada yang dapat maklumat berkenaan haiwan itu segera hubungi pihak Perhilitan untuk tindakan lanjut," ujarnya.