PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) telah menjalinkan kerjasama dalam usaha memastikan kebajikan pemain bola sepak di negara ini diberikan keutamaan.
Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, pihaknya mengharapkan bekas pemain bola sepak dapat mendaftar sebagai ahli yayasan itu bagi memudahkan pemberian bantuan dan sumbangan.
"Bagi memastikan pelbagai bentuk bantuan atau sumbangan dapat disalurkan kepada bekas-bekas atlet ini, kami mengalu-alukan bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili negara di Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Olimpik supaya mendaftar sebagai ahli YAKEB iaitu secara online di www.yakeb.org.my atau menghubungi kami di 03-20924841/4844.
"Buat masa ini, kami mempunyai 2,998 orang ahli yang telah mendaftar sebagai ahli YAKEB yang mana 340 daripadanya merupakan bekas pemain bola sepak termasuk 43 orang bekas pemain wanita.
"Kami menyasarkan sejumlah 500 hingga 600 orang bekas pemain bola sepak mendaftar sebagai ahli," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan FAM pada Khamis.
Sebelum itu, satu pertemuan antara Yakeb dan FAM berlangsung di Wisma FAM, Kelana Jaya diketuai Noorul Ariffin dan Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.
Kunjungan YAKEB ke Wisma FAM itu turut disertai oleh Krishna Priya iaitu balu kepada bekas ketua jurulatih kebangsaan, mendiang B Satiananthan yang telah meninggal dunia pada 18 Julai lalu.
"YAKEB dan FAM masing-masing telah bersetuju mengenai bentuk bantuan dan sumbangan yang akan diberikan kepada keluarga mendiang Satiananthan sebagai menghargai jasa dan pengorbanannya dalam arena bola sepak negara," katanya.
YAKEB setakat ini sudah memberikan bantuan dan sumbangan kepada 60 orang bekas pemain bola sepak menerusi Skim Bantuan Khas YAKEB.