Buruh buat laporan polis bantah Himpunan Selamatkan Malaysia

Iklan
Mohamad Hussein menunjukkan laporan polis yang dibuat untuk membantah Himpunan Selamatkan Malaysia yang akan diadakan pada 16 September ini.

ALOR SETAR - Seorang buruh di sini membuat laporan polis pada Isnin bagi membantah Himpunan Selamatkan Malaysia yang akan diadakan pada 16 September ini.

Mohamad Hussein S Maharigariuah,51 berkata, bantahan tersebut dibuat sebagai seorang rakyat yang bertanggungjawab kepada keamanan negara.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Pemuda Perikatan Nasional (PN) sepatutnya fokus kepada rakyat miskin yang tertekan dengan kos sara hidup pada masa kini daripada menganjurkan himpunan sebegitu.

Dia berkata, himpunan terbabit juga cenderung menggugat kestabilan politik pentadbiran kerajaan selain negara juga akan kehilangan pelaburan dari luar.

Iklan

"Negara kita mengamalkan sistem Raja-Raja Melayu Berperlembagaan dan Parlimen Berperlembagaan. Maka ahli politik boleh membuat bantahan dan bersuara dalam Dewan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri, bukan mengheret rakyat ke jalanan," katanya.

Mohamad Hussein berkata, besar harapannya agar rakyat yang bertanggungjawab dan sayangkan negara tidak turut serta dalam himpunan terbabit.

Iklan

"Hari Malaysia adalah hari yang sepatutnya kita sambut dengan penuh nilai patriotik dan aman, tidak sepatutnya kita cemarkan dengan himpunan seperti itu," ujarnya.

Tegasnya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga diseru agar tidak memberi permit atau kebenaran kepada penganjuran himpunan terbabit.

"Saya sebagai rakyat percaya dengan integriti PDRM dan yakin mereka dapat menangani penganjuran himpunan ini dengan baik," katanya.

Sebelum ini media melaporkan himpunan yang bakal dihadiri 10,000 peserta mungkin berhadapan tindakan undang-undang berikutan penganjur dikatakan tidak membuat permohonan untuk berhimpun.

Bagaimana pun pada Rabu, Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin yang lebih dikenali Chegu Bard berkata, himpunan terbabit akan diteruskan seperti yang dirancang walaupun menerima pelbagai reaksi.