PUTRAJAYA - Kembara Kenali Borneo (KKB) sewajarnya dijadikan anjakan serta batu loncatan agenda pembangunan di Sabah dan Sarawak ke arah penambahbaikan yang lebih baik berbanding sebelumnya, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau yang juga Menteri Penyelaras KKB Yang di-Pertuan Agong itu berkata, penambahbaikan itu boleh dilakukan dari segi ekonomi dan infrastruktur seperti jalan raya, pengangkutan darat mahupun laut, pendidikan, dan akses kepada kehidupan yang lebih baik untuk masa depan.
"Bersama-sama kita melaksanakan penilaian dan tindakan untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyat di Sabah dan Sarawak, agar kemajuan juga dapat dicapai oleh negeri-negeri Borneo ini, serta memperkasa ekonomi sehingga setanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
KKB diadakan buat julung kali bagi merealisasikan impian Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mendekati rakyat Sabah dan Sarawak.
KKB bermula di KM 0 Tawau, Sabah dan berakhir di KM 0, Telok Melano, Sarawak, dengan Yang di-Pertuan Agong memandu sendiri sejauh lebih 2,300 kilometer bagi menyantuni rakyat di Borneo khususnya Sabah dan Sarawak selama 11 hari dari 3 September hingga 13 September.
"Alhamdulillah berkat sokongan padu semua, KKB telah berjalan lancar dan jayanya," kata Fadillah yang berterima kasih kepada kerajaan Sabah dan Sarawak serta rakyat di kedua-dua negeri yang telah bertungkus lumus menjayakan KKB.
Menurutnya, rakyat pelbagai kaum di Sabah dan Sarawak, bukan sahaja sanggup menunggu dari pagi sehingga ke tengah malam, malah sanggup berpanas dan berhujan, di tepi jalan di sepanjang laluan konvoi Yang di-Pertuan Agong.
"Mereka turut mengadakan pelbagai persembahan kebudayaan dan mengenakan pakaian tradisional kaum masing-masing secara sukarela serta sanggup memasang lampu telefon bimbit di kawasan gelap tanpa cahaya lampu jalan demi mengalu-alukan konvoi KKB,” katanya.
Menurut Fadillah, Raja Permaisuri Agong beberapa kali menitiskan airmata kerana terharu dan Yang di-Pertuan Agong dalam setiap titah pada majlis santapan malam sepanjang kembara, menzahirkan rasa terharu dan terima kasih Seri Padula atas sambutan luar biasa rakyat Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, banyak iktibar yang diperolehi menerusi kembara tersebut, dan bukan sahaja Malaysia malah satu dunia menyaksikan Ketua Tertinggi Negara menyantuni rakyat di Borneo serta mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat.
"Kembara ini pastinya akan meninggalkan kesan yang begitu membekas di hati rakyat, melihatkan bagaimana Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong mendekati serta menyantuni rakyat jelata dengan penuh sederhana, tanpa sebarang protokol, berjiwa besar dan berjiwa rakyat, sekali gus turut menyelami kesusahan dan keperluan rakyat terutama di luar bandar," katanya.
Fadillah berkata kembara itu juga menonjolkan betapa seharusnya rakyat jelata dan Raja berpisah tiada. - Bernama.