'Bawa muatan ikut had tidak untung' - Pemandu lori

Iklan
Antara lori yang diperiksa JPJ Selangor menerusi Op Khas Lebih Muatan, pada Rabu. Foto: JPJ Selangor

SHAH ALAM - Bawa muatan ikut had tidak menguntungkan. Itu dakwaan pemandu lori yang ditahan menerusi Op Khas Lebih Muatan pada Rabu.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Negeri Selangor, Mazlini Yusof itu dijalankan bermula jam 12.30 tengah malam di Ijok, Meru dan Kuala Selangor.

Iklan
Iklan

Menurutnya, operasi sehingga jam 10 pagi itu bertindak mengeluarkan 70 notis atas pelbagai kesalahan.

"Berdasarkan pecahan kesalahan, lebih muatan mencatatkan empat kes, tiada perlindungan insurans (6), teknikal (9), tiada lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan perdagangan (GDL) (10), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (6) serta lain-lain kesalahan (35).

Iklan

"Antara alasan diberi kerana melebihi muatan ialah had muatan dibenarkan tidak mendapat keuntungan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Tambahnya, JPJ Selangor juga mengesan pemilik lori yang menggunakan tayar botak dan tidak memandang serius berkaitan fizikal kenderaan.

Iklan

Ujarnya, ini antara yang dikenal pasti hasil pemeriksaan ke atas 32 buah lori sepanjang operasi terbabit.

"Sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta butiran pengadu dan butiran aduan," jelasnya.