Suami isteri maut, motosikal rempuh belakang trak tentera

Iklan
Ridzuan (kiri) dan Rosmawati (dua dari kiri) maut dalam kemalangan di Kilometer 87.0 Lebuh Raya Utara Selatan pada Khamis.

SUNGAI PETANI - Pasangan suami isteri maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah trak tentera sebelum motosikal terbakar di Kilometer 87.0 Lebuh Raya Utara Selatan di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, penunggang motosikal dikenali sebagai Ridzuan Salleh@ Ramli, 41, bekerja sebagai tentera maut serta merta di tempat kejadian disebabkan mengalami kecederaan melecur di bahagian badan dalam kejadian jam 2 petang itu.

Iklan
Iklan

Pasangannya pula, Rosmawati Ismail, 39, meninggal dunia sewaktu menerima rawatan di Zon Merah Hospital Sultan Abdul Hamid (HSAH), dekat sini pada 3.20 petang.

Anggota bomba memadam motosikal yang terbakar di Kilometer 87.0 Lebuh Raya Utara Selatan pada Khamis. Gambar kecil: Keadaan motosikal mangsa yang terbakar selepas merempuh belakang trak tentera di Kilometer 87.0 Lebuh Raya Utara Selatan pada Khamis.

"Namun sebaik tiba di lokasi kemalangan penunggang dipercayai gagal mengelak trak tentera yang berada di hadapan lalu merempuh bahagian belakang trak terbabit.

Iklan

"Impak perlanggaran yang kuat telah menyebabkan motosikal terbabit terbakar di lorong kanan jalan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Jelas Zaidy, mayat kedua-dua pasangan terbabit telah dibawa ke Unit Forensik HSAH untuk bedah siasat.

Iklan

Menurutnya, pemandu dan penumpang kiri trak tentera tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan sempat keluar menyelamatkan diri ketika motosikal terbakar.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.