Kuantan tawar jadi lokasi Himpunan RXZ tahun depan

Iklan
Fadzli

BENTONG - Kuantan bakal menjadi lokasi Himpunan RXZ Member tahun depan selepas kerajaan negeri bersetuju menganjurkan himpunan terbabit yang menghimpunkan pemilik dan peminat motosikal itu dari seluruh negara.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri, Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat persetujuan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia bukti keprihatinan dan cakna menteri besar terhadap minat anak muda khususnya peminat RXZ dari seluruh negara termasuk di Pahang.

Beliau berkata demikian selepas mendengar Taklimat Status Pencapaian Jendela di kawasan Parlimen Bentong dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Taklimat Status Capaian Infrastruktur Jalur Lebar Tetap dan Projek 'Fiber-To-The-Home' oleh Telekom Malaysia (TM) Pahang di Pusat Internet Komuniti (PEDi) Simpang Pelangai, Bentong pada Khamis.

Iklan

Fadzli berkata, satu perbincangan akan diadakan dan beliau memberitahu akan berhubung rapat dengan kelab-kelab permotoran di dalam mahu pun di luar negeri Pahang bagi membincangkan pengisian program sepanjang himpunan itu berlangsung nanti.

"Insya-ALLAH berbagai acara menarik akan dianjurkan sepanjang himpunan ini berlangsung.

Iklan

"Saya percaya jika acara ini diuruskan dengan baik, ia akan menjadi acara yang terkemuka bukan sahaja di negara ini tetapi juga mendapat sambutan dari negara-negara luar," tambahnya.

Dalam pada itu, beliau turut menzahirkan penghargaan dan berterima kasih terhadap keprihatinan menteri besar dengan minat generasi muda.

Himpunan jentera Yamaha RXZ terbesar di Malaysia ini sudah memasuki edisi kelima penganjurannya selepas kali pertama diadakan bermula 2017 sehingga 2019 sebelum kembali berhimpun pada tahun lepas dan terbaharu tahun ini di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak.