SHAH ALAM - Lebih separuh daripada rakyat Malaysia mengalami diskriminasi dengan 55 peratus daripadanya tidak membuat laporan dan sanggup menderita dalam diam.
Hasil dapatan Persatuan Pendidikan Diversiti (AOD) Malaysia, mereka memilih untuk tidak melaporkannya kerana tidak mempunyai bukti, selain halangan dari segi masa atau wang.
Malah daripada jumlah itu pula sebanyak 64 peratus rakyat Malaysia juga dilaporkan mengalami beberapa bentuk diskriminasi sejak setahun yang lalu.
Tinjauan berkenaan dibuat membabitkan 3,238 responden seluruh negara bermula 4 hingga 23 Ogos lalu.
Hasil dapatan kajian itu, penganut Hindu lebih cenderung mengalami diskriminasi agama dalam tempoh 12 bulan lalu iaitu mewakili 40 peratus, berbanding Kristian (26 peratus), Buddha (22 peratus) dan Muslim (20 peratus).
"Selain status sosio-ekonomi, diskriminasi turut dirasai rakyat negara ini berhubung faktor usia mereka yang mewakili 33 peratus dan kaum (32 peratus).
"Generasi muda berusia di antara 18 hingga 24 tahun lebih banyak mengalami pengalaman didiskriminasi disebabkan kaum, yang mewakili 43 peratus, berbanding mereka yang lebih berusia iaitu 40 hingga 59 tahun (23 peratus) dan 60 tahun ke atas (22 peratus).
"Sama ada lelaki dan wanita, kedua-duanya pernah mengalami diskriminasi berkaitan jantina dalam kadar lebih kurang sama iaitu mewakili 21 peratus (lelaki) dan 27 peratus (wanita)," kata kenyataan itu.
Lebih mengejutkan, diskriminasi paling banyak dialami mereka di media sosial iaitu sebanyak 32 peratus, dan di tempat kerja, ketika mencari pekerjaan (30 peratus) dan di tempat kerja (29 peratus).
Kata kenyataan itu, individu daripada kaum India, dikesan mengalami tahap diskriminasi lebih tinggi daripada kaum lain ketika memohon pekerjaan yang mewakili 51 peratus.
"Selain itu, individu India juga turut mengalami diskriminasi ketika mencari tempat tinggal (35 peratus) dan ketika berurusan dengan polis (21 peratus)," katanya.
Malah mereka mereka yang mengalami diskriminasi di tempat kerja, faktor keadaan kerja menyumbang paling tinggi iaitu sebanyak 62 peratus dan gaji (53 peratus).
Jelas kenyataan itu lagi, pekerja dari Sabah dan Sarawak lebih berkemungkinan mengalami diskriminasi berkaitan keadaan pekerjaan iaitu sebanyak 72 peratus, sementara Melayu mewakili 56 peratus dan India (60 peratus) lebih cenderung berdepan diskriminasi berkaitan gaji berbanding Cina (41 peratus) dan Bumiputera lain (51 peratus).
"Selain itu, literasi berhubung diskriminasi secara amnya adalah rendah, contohnya kurang daripada separuh atau 49 peratus responden merasakan bahawa dipaksa untuk tidak memakai pakaian keagamaan di tempat kerja dianggap sebagai diskriminasi.
"Sementara 37 peratus berasakan ia bukan satu bentuk diskriminasi," kata kenyataan itu.