KEMBARA Kenali Borneo yang diilhamkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bermula 3 September lalu telah melabuhkan tirainya pada Rabu.
Seri Paduka bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda-anakanda telah menempuh perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei.
Sambutan diterima amatlah luar biasa dan di luar jangkaan. Merak Jalanan amat terhibur dengan pelbagai gelagat dan kisah mencuit hati yang dirakamkan sepanjang perjalanan tersebut.
Setiap laluan ada momen tersendiri ketika rakyat bersua muka dengan Seri Paduka sekeluarga untuk bersalam serta bergambar.
Ada yang menghulurkan ‘duit belanja’ kepada anakanda Seri Paduka, buah-buahan, makanan segera, hadiah dan pelbagai cenderahati.
Tak dapat autograf di atas kertas, dapat tanda tangan di botol susu anak pun sudah bikin ‘histeria’.
Sepanjang kembara, dapat dilihat sifat pemurah Agong dan Raja Permaisuri yang sentiasa menghulurkan wang kepada warga emas serta kanak-kanak termasuklah pengantin baharu.
Merak Jalanan turut tersentuh hati melihat Seri Paduka makan nasi bungkus di tepi jalan. Sampai begitu sekali Yang di-Pertuan Agong menyantuni rakyat. Tiada bandingan. Sangat berjiwa rakyat.
Tak dapat dinafikan, semangat dan kasih sayang yang ditunjukkan orang Sabah serta Sarawak tiada tolok bandingnya.
Mereka sanggup menunggu di tepi jalan dengan setia tanpa mengira cuaca panas terik atau hujan lebat, siang mahu pun lewat malam.
Sudah pasti Kembara Kenali Borneo akan menjadi kenangan manis buat Seri Paduka sekeluarga dan rakyat jelata. Suasana yang akan dirindukan.
Kasihnya raja terhadap rakyat, begitu jugalah sayangnya rakyat kepada Seri Paduka sekeluarga. Daulat Tuanku!