SHAH ALAM - Kumpulan Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (Prolintas) melaksanakan ujian rintis kutipan tol secara Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) di dua lebuh raya kendaliannya iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, alternatif baharu pembayaran tol itu boleh digunakan oleh pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta) di lorong yang telah dikenal pasti dengan papan tanda khas pada gantri.
Iklan
Iklan
Katanya, sistem itu mula dijalankan di ketiga-tiga plaza tol Lebuhraya GCE iaitu Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong bermula 13 September 2023.
Orang ramai mula membayar tol dengan menggunakan kad bank.
"Bagaimanapun, Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya AKLEH sudah menerima pembayaran tol baharu itu sejak 9 September lalu.
"Satu lorong disediakan di setiap plaza tol untuk proses percubaan sistem itu selaras dengan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Mohammad Azlan, kaedah tersebut sebagai tambahan untuk kaedah pembayaran sedia ada seperti kad Touch n’ Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
"Inisiatif ini dijangka menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk pengguna lebuh raya di plaza tol dengan lebih banyak pilihan pembayaran sekali gus menyumbang ke arah penambahbaikan industri lebuh raya negara secara keseluruhannya,” jelasnya.
Artikel Berkaitan