Jurujual maut motosikal langgar kereta

Iklan
Seorang jurujual maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian tepi sebuah kereta di lampu isyarat Pekan Bukit Payong pada malam Khamis.

MARANG - Seorang jurujual maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian tepi sebuah kereta di Kilometer 13 Jalan Kuala Terengganu - Kuala Berang, di lampu isyarat Pekan Bukit Payong, dekat sini pada malam Khamis.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintenden Mohd Zain Mat Dris berkata, mangsa, Nur Ainun Mardhiah Mohd Zainuddin, 21, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira jam 10.05 malam apabila kereta jenis Perodua Kelisa yang dipandu seorang pelajar lelaki berusia 24 tahun dalam perjalanan ke Kuala Terengganu dipercayai meneruskan perjalanan apabila lampu isyarat telah berwarna kuning.

"Motosikal ditunggang Nur Ainun Mardhiah yang datang dari arah lampu isyarat menghala ke arah Kampung Alor Limbat telah melanggar bahagian tepi sebelah kanan kereta tersebut.

Iklan

"Akibat dari pelanggaran berkenaan, Nur Ainun Mardhiah tercampak di hadapan sebuah kereta jenis Perodua Viva yang sedang berhenti menunggu lampu isyarat menghala ke arah Kuala Berang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan

Beliau berkata, pemandu kereta Perodua Kelisa pula mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan, manakala pemandu Perodua Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Mangsa yang telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk urusan bedah siasat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.