SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Laporan awal Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) melibatkan nahas pesawat Hawker Beechcraft 390 Premier 1 berhampiran Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu mendapati, kemalangan tidak dapat dielakkan kerana magnitud daya nyahpecutan (deceleration force) dan kebakaran selepas kemalangan.
Hasil laporan itu juga mendedahkan, tiada bukti ketidakupayaan atau faktor fisiologi yang menjejaskan prestasi kru penerbangan.
"PIC (pilot in command) telah dilesenkan dan layak untuk penerbangan mengikut peraturan sedia ada.
"Pesawat juga mempunyai Sijil Kelayakan Udara yang sah dan telah diselenggara mengikut peraturan.
"Kejadian berlaku pada waktu siang dengan keterlihatan jelas dan keadaan meteorologi yang baik," menurut laporan berkenaan yang dimuat naik di laman sesawang Kementerian Pengangkutan pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, pesawat yang membawa enam penumpang bersama dua juruterbang dan pembantunya dilaporkan gagal dikawal sebelum terhempas.
Seramai 10 mangsa terkorban dalam nahas itu termasuk Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Datuk Seri Johari Harun, 53.
Turut maut dalam kejadian itu ialah juruterbang, Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantu juruterbang, Heikal Aras Abdul Azim, 45, serta lima penumpang iaitu Muhammad Taufik Mohd Zaki, 37; Khairil Azwan Jamaludin, 43; Shaharul Amir Omar, 49; Mohammad Naim Fawwas Mohamed Muaidi, 35, dan Idris Abdul Talib @ Ramali, 41.
Dua orang awam yang terkorban pula ialah penunggang p-hailing, Muhammad Hafiz Muhammad Salleh, 32, dan pemandu e-hailing, Sharipudin Shaari, 51, yang melalui kawasan kejadian.