Najib bimbang trend pendeposit TH keluarkan simpanan

Iklan

SHAH ALAM - Selepas pengumuman Tabung Haji (TH) berkaitan prestasi mereka bagi suku pertama 2019, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melahirkan kebimbangan berhubung trend pengeluaran simpanan pendeposit.

Dakwanya, pada suku keempat 2018, jumlah deposit TH telah turun sebanyak RM1 bilion selepas lebih ramai pendeposit mengeluarkan simpanan berbanding simpanan baharu.

Iklan
Iklan

"Trend ini berterusan pada suku pertama 2019 di mana nilai pengeluaran melebihi deposit baharu sebanyak RM300 juta.

ARTIKEL BERKAITAN: Tabung Haji catat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama

Iklan

"Perlu diingatkan bahawa prestasi suku pertama 2019 adalah sebelum hibah 1.25 peratus, iaitu paling rendah dalam sejarah diumumkan pada April. Saya bimbang trend pengeluaran simpanan akan bertambah teruk untuk suku kedua ini," katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

TH dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan badan itu mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM440 juta bagi suku pertama tahun ini, berakhir 31 Mac 2019.

Iklan

Badan pemegang amanah itu turut merekodkan pendapatan berjumlah RM623 juta bagi tempoh dikaji.

TH dalam kenyataannya berkata, pendapatan TH djangka akan terus meningkat mulai suku kedua dengan penerbitan sukuk oleh Urusharta Jamaah Sdn Bhd yang akan memberi pulangan hampir RM800 juta setahun dan pelaksanaan proses pelarasan pelaburan baharu.

Mengulas lanjut, Najib berkata, berdasarkan kepada angka keuntungan bersih TH bagi suku pertama dan sekiranya trend itu berterusan hingga akhir tahun, maka nilai untung bersih badan itu bagi 2019 hanya RM1.76 bilion.

"Jumlah keuntungan RM1.76 bilion ini belum termasuk susut nilai untuk mengambil kira kejatuhan nilai pelaburan TH dalam pasaran saham yang sudah menjadi paling corot dalam dunia untuk tahun ini.

"Pada 2018, sebanyak RM913 juta dari keuntungan TH diagihkan untuk membayar Hibah 1.25 peratus. Jika kita mengabaikan sebarang susut nilai pun, keuntungan RM1.76 bilion untuk tahun 2019 hanya cukup untuk membayar hibah paling tinggi pada kadar 2.40 peratus," katanya.

Tambahnya, RM800 juta setahun yang dibayar oleh syarikat tujuan khas (SPV) untuk membeli aset RM19.9 bilion daripada TH hanya 4.02 peratus setahun.

"Kadar pulangan ini adalah rendah berbanding purata hibah 6.75 peratus yang dibayar pada tempoh 9 tahun semasa saya menjadi Perdana Menteri.

"Berdasarkan laporan suku pertama TH ini, saya boleh merumuskan bahawa corak pelaburan badan itu telah berubah dan hibah untuk tahun 2019 ini serta tahun-tahun akan datang mungkin tidak tinggi lagi seperti dahulu," katanya.