KUALA LUMPUR - Polis menerima 22 laporan daripada pihak yang tidak bersetuju dengan 'Himpunan Selamatkan Malaysia' di ibu negara pada Sabtu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, laporan ini dibuat oleh pemilik premis serta orang awam.
"Laporan dibuat mereka ini kerana tidak berpuas hati dengan himpunan terbabit.
"Mengenai kumpulan 'Baju Merah’ diketuai oleh Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos, setakat ini juga tiada notis pemakluman kepada kita (polis)," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, polis boleh menyiasat pihak yang melakukan himpunan terbabit di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Ujarnya, tiada sebab himpunan itu perlu dilakukan kerana pihak polis sentiasa memastikan negara dalam keadaan selamat dan terkawal.
"Seperti kenyataan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail) yang menyifatkan penganjur Himpunan Selamatkan Malaysia tidak menghormati sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini.
"Polis sentiasa menjaga keamanan dan ketenteraman awam sebaiknya," ujarnya.
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan tiada notis pemakluman diterima Polis Kuala Lumpur mengenai himpunan yang akan diadakan di ibu negara membabitkan dua kumpulan pada Sabtu ini.
Kumpulan itu ialah ‘Baju Merah’ diketuai oleh Jamal serta Himpunan Selamatkan Malaysia yang dianjurkan Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, sepatutnya notis ini diberikan kepada pihaknya lima hari sebelum hari kejadian (Sabtu).