JKKN terap nilai cintakan seni, budaya

Iklan
Salmiyah dalam program Sinar Live pada Khamis. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR

SHAH ALAM - Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah melaksanakan pelbagai program sebagai inisiatif dalam mempertingkatkan kesedaran, pengetahuan masyarakat terhadap kepentingan seni budaya dalam kehidupan.

Program-program yang dilaksanakan juga sebahagian daripada medium pembangunan modal insan ke arah melahirkan masyarakat yang mengamalkan budi bahasa dan nilai-nilai murni dalam membentuk perpaduan dan keharmonian.

Iklan
Iklan

Dalam usaha memberi bimbingan seni kepada generasi muda terutama golongan kanak-kanak supaya mengenali seni dan budaya warisan negara, JKKN telah melaksanakan program bimbingan seni pada 1996.

Pengarah Bahagian Bimbingan Seni dan Budaya JKKN, Salmiyah Ahmad berkata, pelaksanaan bimbingan seni tersebut pada awalnya tidak menjumpai mekanisme dan pelaksanaan dengan lebih teratur.

Iklan

Bagaimanapun katanya, pada 2005, Jemaah Menteri telah meluluskan kertas kabinet supaya JKKN melaksanakan satu program bimbingan seni dan budaya dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (kini Kementerian Pendidikan).

Salmiyah

"Bermula dari tarikh itu, kita melahirkan satu mekanisme pelaksanaan di mana mula melaksanakan kursus untuk melahirkan jurulatih seni bimbingan negara (JSBN).

Iklan

"Jurulatih SBN akan menjadi ejen kepada JKKN untuk mengajar kanak-kanak yang berada di sekolah,” katanya dalam program Sinar Live ‘JKKN teraju program seni budaya’ yang dihoskan Haizir Othman dan disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Khamis.

Salmiyah berkata, bimbingan seni dan budaya pada asalnya memfokuskan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM).

"Kalau sekolah rendah kita ada ‘Kelab Tunas Budaya’, sekolah menengah ‘Kelab Giat Budaya’ manakala untuk tadika kita ada ‘Tunas’," katanya.

Jelasnya, tanpa kerjasama KPM, JKKN tidak mempunyai akses masuk ke sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri telah memberikan kerjasama yang amat baik bagi membolehkan JKKN melaksanakan program di sekolah-sekolah yang terpilih.

"JKKN akan tawar kepada sekolah terbabit, mereka akan membuat permohonan dan JKKN akan pilih menerusi enam bidang seni iaitu teater, seni tari, muzik, seni berbahasa, silat dan permainan tradisi," katanya.

Hantar jurulatih ke sekolah

Salmiyah berkata, selepas pemilihan sekolah dilakukan, JKKN akan menghantar jurulatih ke sekolah tersebut dan mereka akan mengajar dalam tempoh yang ditetapkan.

"Bila kita buat bimbingan kita tak mahu hantar mereka yang tak boleh nak mengajar.

"Untuk melahirkan JSBN, kita juga wujudkan kursus untuk mereka. Kita buka kursus tersebut kepada ahli badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang berminat dengan seni dan budaya. Mereka perlu hadiri kursus dengan tahap yang telah ditetapkan,” katanya

Tambahnya, setiap JSBN perlu menjalani satu ujian dan jika lulus ujian itu baru mereka akan ditauliahkan dan boleh mengajar di sekolah.

"Sejak ujian ini dilaksanakan pada tahun 2006, kita telah berjaya melahirkan 2,455 JSBN.

"Setiap JSBN akan mengajar menggunakan 50 modul setiap satunya mengandungi empat tahap yang telah JKKN hasilkan,” katanya.

Lantik JSBN dalam kalangan guru

Salmiyah berkata, JKKN sentiasa mahukan pelajar menerima pembelajaran seni dan budaya dengan lebih baik.

Justeru katanya, JKKN membuat keputusan mewujudkan JSBN dalam kalangan guru sekolah yang terlibat.

"Jadi bermula tahun ini, JKKN membuka kursus untuk pentauliahan JSBN khas untuk guru meliputi tiga zon iaitu melibatkan 12 negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

"JKKN kumpul sekolah berminat di setiap negeri dan terbaharu pada Ogos lalu kita telah tauliah 105 orang guru menjadi JSBN.

"Pendekatan baharu JSBN dalam kalangan guru ini dapat 'bonding' dengan pelajar dengan mudah,” ujar Salmiyah.

Tambahnya, apabila JSBN berada di dalam sekolah ia memudahkan tugas mengajar dan lebih pantas.

"Orang awam yang berminat untuk menjadi JSBN juga dialu-alukan dengan syarat dia wajib melalui kursus-kursus JKKN dan perlu lulus ujian serta terima pentauliahan.

”JSBN ini banyak permintaan bukan setakat program yang JKKN anjurkan di sekolah tetapi macam pihak luar, sebagai contoh tahun ini kita ada Universiti Multimedia yang hantar surat permohonan untuk ajar penuntut mereka dalam bidang tari.

"Kita akan tawar kepada JSBN dalam bidang kaitan untuk mengajar. Kita tak sekat kerana dah ada kelulusan JSBN mereka ada hak mengajar di mana-mana sekolah atau universiti yang terpilih," katanya.

Salmiyah ketika menjawab soalan yang diajukan oleh Haizir. - Foto Sinar Harian/ASRIL ASWANDI SHUKOR

Kejayaan JKKN

Salmiyah berkata, sejak 2006, seramai 245,364 pelajar daripada 9,817 sekolah terlibat dengan program JKKN.

"Sebagai contoh Sekolah Kebangsaan Kiawayan Tambunan Sabah, mereka tubuhkan Kelab Kiawayan Dance dan pernah menjadi johan pertandingan tari kanak-kanak.

"Tahun lepas setiap program ini kita ada dokumentasi, di penghujung kita adakan kejohanan tari peringkat negeri, kalau ada lapan sekolah mereka layak untuk bertanding di peringkat negeri

"Johan peringkat negeri kita akan kumpulkan untuk pertandingan peringkat kebangsaan, dalam Kejohanan Tari Kanak-Kanak Peringkat kebangsaan pada 30 September dan 1 Oktober di Pusat Pelancongan Malaysia (Matic),” katanya.

Salmiyah berkata, selain sekolah, JKKN turut bekerjasama dengan Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

"Modul JKKN dibawa masuk ke pusat serenti dan lokap di mana program sebegini mampu memberi terapi jiwa kepada pesalah.

"Malah kita bakal menganjurkan Festival Living Art Culture pada 20 hingga 22 Oktober yang turut menjemput wakil negara luar dengan memfokuskan kepada aspek kepelbagaian kesenian yang diiktiraf UNESCO dan warisan kebudayaan kebangsaan,” katanya.

Tambahnya, kejayaan paling besar JKKN apabila Permata Seni Koir yang dilahirkannya berjaya memperolehi anugerah emas dan perak peringkat antarabangsa.