KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan dukacita kerana tidak dapat singgah di beberapa lokasi di Sabah dan Sarawak semasa program Kembara Kenali Borneo seperti yang dirancangkan.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mej Jen Datuk Zahari Mohd Ariffin berkata, di Sabah, rombongan Kembara Kenali Borneo tidak dapat singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu yang dijadualkan pada 4 September dan Tagal, Sungai Moroli di Ranau pada keesokan harinya.
Di Sarawak pula, rombongan Seri Paduka berdua tidak dapat mengunjungi Tokong Yu Lung Sian En Si di Sibu yang dijadualkan pada 11 September selain rombongan juga tidak dapat mengunjungi Masjid Bandar Sri Aman dan kemudiannya Fort Alice di Sri Aman sehari selepas itu.
"Seri Paduka Baginda dan Raja Permaisuri Agong berdua serta rombongan tidak berkesempatan singgah di lokasi-lokasi atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan dan bukanlah disengajakan.
"Seri Paduka Baginda berdua, dalam menyantuni ribuan rakyat yang menunggu sepanjang jalan, juga mengejar masa untuk berangkat tiba di majlis-majlis santapan malam bersama rakyat yang melibatkan kehadiran ratusan atau ribuan hadirin pada waktu yang telah ditetapkan di hari-hari berkenaan," katanya dalam kenyataan Istana Negara pada Jumaat.
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah amat prihatin terhadap keterujaan dan semangat kasih sayang rakyat yang setia menunggu ketibaan rombongan untuk bertemu, bersalaman dan bergambar dengan Seri Paduka berdua di lokasi-lokasi berkenaan.
Zahari berkata, Seri Paduka bertitah, sekiranya keadaan mengizinkan, baginda berhasrat berangkat menyantuni rakyat di lokasi-lokasi tersebut di masa hadapan.
"Selanjutnya, jika keadaan tidak mengizinkan, bermungkinan paduka-paduka anakanda akan mewakili Baginda berdua," katanya.
Program Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan bermula di Tawau, Sabah pada 3 September lepas dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sarawak pada Rabu.
Jelajah yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan. - Bernama