KOTA BHARU - Kelab Sukan dan Kebajikan (KSKK) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mengambil inisiatif dengan mewujudkan kedai serbaneka bersebelahan dengan pejabat agensi berkenaan.
Pengerusinya, Azman Ismail berkata, inisiatif itu diperkenalkan bertujuan membantu penduduk untuk mendapatkan barangan kawalan dan keperluan harian pada harga rendah berbanding kedai runcit biasa.
"Ini merupakan salah satu khidmat sosial KSKK KPDN Kelantan kepada masyarakat sekitar.
Menurut beliau, kedai tersebut yang mula beroperasi pada Rabu lalu menawarkan pelbagai barangan keperluan harian termasuk minyak masak peket, beras, gula dan banyak lagi.
Azman memberitahu, KSKK KPDN Kelantan berharap orang ramai dapat memanfaatkan peluang yang disediakan itu dengan sebaik mungkin.
Ujarnya, melalui kedai serbaneka tersebut KSKK KPDN Kelantan turut menganjurkan jualan Rahmah.
Dalam perkembangan lain, Azman yang juga Pengarah KPDN Kelantan berkata, pihaknya akan terus melipat gandakan operasi bagi memastikan aktiviti penyelewengan barangan subsidi negara dapat dibendung.
"KDPN Kelantan sentiasa bekerjasama dengan pasukan keselamatan lain bagi memastikan barangan subsidi dan kawalan tidak lolos ke negara jiran.
"Kita berharap masyarakat dapat memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui kegiatan penyelewengan ini.
"Aktiviti ini boleh merugikan negara," katanya.