Pas minta penjelasan isu penjualan saham Boustead Holdings

Iklan
Mohd Amar (tengah) selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Medan Ilmu pada Jumaat.

KOTA BHARU - Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Abdullah meminta kerajaan memberi penjelasan berhubung desas-desus penjualan saham Syarikat Boustead Holdings Berhad kepada bukan bumiputera.

Menurut beliau, khabar angin itu juga menimbulkan rasa cemas dan bimbang dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan yang ada.

Iklan
Iklan

"Saya difahamkan ada dokumen bertulis mengenai perkara ini. Jadi sepatutnya apabila ia didedahkan oleh mana-mana pihak, kerajaan perlu mengambil tindakan.

"Kerajaan perlu memberi jawapan sama ada betul atau sebaliknya. Jika dibiarkan, rakyat semakin gelisah, bimbang akan menjadi siri penjualan kepentingan orang Melayu dan Islam," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kuliah Jumaat di Medan Ilmu di sini.

Mohd Amar turut mempersoalkan penjualan Boustead Holdings pada harga murah sedangkan syarikat itu membawa keuntungan.

Iklan

"Jika perkara itu benar, kita (Pas) menentang. Sebab pertama ialah dijual pada harga yang murah dan melibatkan kepentingan orang Melayu.

"Biasanya, kita akan jual syarikat yang rugi tetapi Boustead Holdings dijual pada harga lebih rendah dan secara senyap. Semua itu menimbulkan persoalan," katanya.

Sementara itu, sebuah portal, The Kapital.my yang memetik laporan kewangan syarikat Boustead Holdings Berhad melaporkan pemegang saham terbesar syarikat itu ialah Lembaga Tabung Angkatan Tentera yang memiliki lebih daripada separuh pegangan saham Boustead Holdings Berhad iaitu sebanyak 59.43 peratus pegangan.

Ia diikuti oleh pemegang kedua terbesar iaitu Kumpulan Wang Persaraan (diperbadankan) yang memiliki 5.22 peratus.