SEREMBAN - Tindakan segelintir peniaga membeli beras putih tempatan (BPT) dalam kuantiti yang banyak adalah faktor utama bekalan beras berkenaan berkurangan di pasaran.
Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Negeri Sembilan, Irwan Ahmad Rejab berkata, keadaan itu berlaku berikutan kenaikan harga beras putih import yang secara tidak langsung menyebabkan ramai beralih kepada beras tempatan disebabkan harganya lebih murah.
"Sebelum ini margin keuntungan antara beras import dan beras tempatan antara RM1.50 ke RM2.
"Tapi, akibat kenaikan harga beras dunia, marginnya lebih kurang RM10 dan itu menyebabkan ramai beralih kepada beras tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa mengadakan tinjauan mesra pemeriksaan bekalan beras di gudang Jasmine Food di Jalan Kuala Sawah di sini bersama Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan pada Jumaat.
Bagaimanapun beliau menolak dakwaan masalah itu timbul disebabkan berlaku aktiviti menyorok BPT.
Sehubungan itu beliau meminta peniaga dan pengguna tidak membuat pembelian panik kerana bekalan BPT di Negeri Sembilan masih boleh diperoleh.
Malah katanya, kerajaan juga telah menguatkuasakan
Peraturan-peraturan 10(1)(b) Peraturan-peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan, Pemborong dan Peruncit) yang mana setiap individu dan peniaga hanya dibenarkan membeli maksimum 100 kilogram BPT.
"Semalam(Khamis) kita telah pun mengadakan sesi libat urus dengan pasar raya, mini market dan premis perniagaan berkaitan untuk jelaskan berkenaan peraturan ini.
"Setakat ini kita telah terima enam aduan yang kebanyakannya di Seremban berkenaan ketiadaan bekalan BPT dan selepas pemantauan dilakukan sememangnya benar ia berlaku, namun ia telah diatasi,"katanya.
Sementara itu Veerapan berkata, menerusi Ops Jamin dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, dari tempoh 7 Julai hingga 14 September lalu, sebanyak 167 premis telah diperiksa.
Ujarnya, pemeriksaan mendapati tiada kes penukaran label kampit beras dan jualan BPT juga adalah mengikut harga kawalan yang ditetapkan.
"Bermula 11 September lalu, Pegawai Pemantau Harga (PPH), KPDN turut digerakkan bagi menjalankan pemantauan khas harga runcit beras setiap hari melibatkan 31 premis pemantauan harian terpilih (hypermarket dan supermarket) di Negeri Sembilan.
"Setakat ini, hasil pemantauan mendapati, BPT dijual pada harga kawalan," katanya.
Bagaimanapun katanya, terdapat premis perniagaan yang telah kehabisan stok BPT dan telah membuat tempahan daripada pihak pembekal serta dijangka akan menerima bekalan dalam waktu terdekat.
Dalam pada itu beliau berkata, KPDN Negeri Sembilan akan meneruskan kerjasama strategik dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta menggiatkan pemeriksaan di bawah Ops Jamin bagi membanteras isu penukaran label kampit beras yang dikhuatiri berlaku susulan pelarasan harga baharu bagi Beras Putih Import (BPI).