SEGAMAT -"Ibu sebelum ini ada beritahu arwah ayah dan arwah abang kerap 'datang' dalam mimpinya berpakaian serba putih dan mengajaknya ke alam lain".
Demikian kata Norsinah Embok Hitam, 45, anak kepada Allahyarham Fatimah Ismail, 66, yang maut dalam kemalangan mengorbankan tiga warga emas di Jalan Johor Bahru -Seremban di sini pada Khamis.
Norsinah berkata, perkara pelik tersebut diceritakan arwah ibu kepadanya dua hari sebelum kemalangan tersebut.
"Kemalangan ini menyebabkan saya kini hilang tiga insan tersayang dalam tempoh singkat.
"Selepas arwah ayah dan abang meninggal dunia beberapa tahun lalu, ibu saya menumpukan sepenuh perhatian menyantuni anak cucu," katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Forensik Hospital Daerah Segamat (HDS) di sini pada Jumaat
Norsinah adalah anak tunggal kepada Fatimah dan cucu kepada, Indok Akok, 89, dan anak saudara Tahallah Abd Fatah, 62, iaitu tiga wanita warga emas yang meninggal dunia petang Khamis akibat terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di sini.
Dalam kejadian petang Khamis, Fatimah parah di beberapa bahagian badan dan kepala selepas Perodua Alza yang dinaikinya bersama 10 ahli keluarga dirempuh pikap Toyota Hilux ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Parit Kerimun, Benut, Pontian.
Semua jenazah dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Karimun, Benut selepas solat Jumaat.
"Mangsa lainnya yang terbabit nahas tiga kenderaan itu dirawat di HDS," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.