PARIT - Seorang ibu tidak menyangka permintaan anak lelakinya untuk tidur bersama sejak sebulan lalu merupakan petanda murid tahun empat tersebut akan meninggalkan mereka sekeluarga.
Azizah Mat Nor, 45, berkata, tidak pernah terdetik di hatinya yang anak kedua, Muhammad Ammar Raziq Azhar, 10, pergi buat selamanya selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Ekor Lambat, petang semalam.
Lebih menyayat hati, anak kedua daripada tiga beradik itu dilanggar sebuah motosikal ketika dia sedang menyeberang jalan untuk ke surau depan rumahnya bagi berbuka puasa sekitar jam 6.30 petang.
Menurut Azizah, ketika kejadian dia berada di dalam rumah bersama anak bongsunya Muhammad Aisy Arasy berusia tiga tahun manakala suaminya Azhar Amran berada di surau berkenaan bagi menguruskan giliran moreh mereka sekeluarga.
"Sebelum kejadian Allahyarham main depan rumah dan kemudian dia baring di ruang tamu dengan adiknya. Lepas tu dia beritahu nak ke surau tengok ayahnya di sana.
"Adik dia pun nak ikut tapi saya beritahu dia boleh pergi tapi adik tak boleh pergi. Tak lama lepas dia keluar, saya dengar orang menjerit lalu keluar dan tengok suami tengah pangku Ammar yang berlumuran darah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediaman mereka di sini hari ini.
Katanya, luluh hatinya melihat anak terkulai di pangkuan suami sebelum dibawa ke Hospital Changkat Melintang, Lambor Kanan oleh salah seorang pemandu kereta yang melalui jalan tersebut.
"Tiba di hospital doktor kata mereka sedang cuba selamatkan Ammar. Tapi jam 6.55 petang kami dimaklumkan dia dah meninggal dunia," katanya.
Azizah berkata, anak lelakinya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan pelik selain meminta untuk tidur bersamanya sejak sebulan lalu dan permintaan tersebut dipenuhinya.
Bagi Azhar pula, dia tidak menyangka bunyi dentuman dan diikuti seorang penunggang motosikal terseret di hadapannya itu melibatkan Ammar kerana dia tidak mendengar jeritan atau suara anaknya.
"Saya tengok motosikal itu terseret dan sempat tanya jemaah lain dia langgar apa. Bila toleh dan lihat ke jalan saya nampak anak saya terbaring.
"Saya terus pangku Ammar dan darah keluar membuak-buak dari mulutnya. Masa tu saya cuba angkat dia, tapi lutut saya lemah," katanya.
Menurut Azhar dia kemudiannya membawa anaknya itu ke hospital menaiki kereta yang berhenti menawarkan pertolongan sambil memangku Allahyarham.
"Saya sempat panggil anak saya beberapa kali dan dia buka mata sekali, lepas tu terus tertutup. Masa tu hanya air mata saja yang mengalir. Saya sempat ajar dia mengucap dua kalimah syahadah," katanya.
Jenazah Ammar Raziq selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Chupak, Parit, kira-kira jam 10 pagi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menerima makluman kemalangan maut itu daripada pihak Hospital Changkat Melintang (HCM).
"Siasatan awal mendapati motosikal jenis SYM yang ditunggang juruteknik berusia 23 tahun itu dalam perjalanan dari Parit menuju ke Bota.
"Setibanya di tempat kejadian dia telah melanggar mangsa yang secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan,” katanya.
Menurutnya, murid Sekolah Kebangsaan Iskandar Shah itu telah dikejarkan ke HCM untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 6.55 petang.
"Bedah siasat yang dijalankan pada jam 9 malam mengesahkan sebab kematian adalah kecederaan di bahagian kepala.
"Penunggang motosikal terbabit mengalami luka ringan namun, sampel urin dan darahnya diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia Ipoh.
"Tempat kejadian dilawati dan siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.