SHAH ALAM -"Nyawa merupakan soal yang sama sekali tiada kompromi,"
Demikian tegas Ahli Tetap Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Selangor, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud berhubung kecaman yang dilemparkan segelintir masyarakat berkaitan tindakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menyita motosikal milik seorang penghantar makanan dalam satu operasi Selasa lalu.
Beliau berkata, tindakan yang diambil itu wajar dilihat daripada sudut lain iaitu melibatkan soal nyawa dan keselamatan bukan sahaja penghantar makanan tersebut malahan pengguna jalan raya yang lain.
"Banyak kes kita lihat, bila libatkan tiada cukai jalan pada masa sama insurans juga tidak ada, bila terlibat kemalangan, memang tak dapat buat sebarang tuntutan. Bila jadi macam itu adakah kita nak ungkapkan bab perikemanusiaan ini," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Tengku Ahmad Marwan berkata, peraturan ditetapkan bukanlah bertujuan untuk menganiaya jauh sekali melibatkan sebarang kepentingan.
"Peraturan dibuat bagi memastikan soal keadilan semua pengguna jalan raya itu terbela, tiada masalah sekiranya kita patuhi peraturan ditetapkan.
"Seharusnya kalau dilihat kembali kepada kadar kompaun melibatkan kesalahan-kesalahan jalan raya di negara ini masih jauh lebih rendah berbanding negara jiran," katanya.
Menurutnya, siapa harus dipersalahkan sekiranya kemalangan berlaku sekiranya anggota terbabit bertindak menutup sebelah mata dengan melepaskan penunggang terbabit.
"Setiap penguatkuasaan atau tindakan diambil melibatkan timbang tara dan situasi keadaan, saya percaya ia bukan sewenangnya diambil, kalau berlaku kemalangan, siapa yang kita nak salahkan pula.
"Sebagai pengguna jalan raya, perlu diingat bab cukai jalan, insurans itu adalah perkara asas, ia bukan peraturan baharu, kita seharusnya lebih faham tentang soal itu," ujarnya.
Dalam pada itu, Tengku Ahmad Marwan berkata, adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya peraturan ditetapkan itu sentiasa perlu diberikan budi bicara.
"Keselamatan jalan raya ini melibatkan skop yang luas, soal budi bicara itu sebenarnya masih wujud, namun dalam keadaan kita tidak sedar ia akan menjadikan seolah-olah peraturan itu dapat dilanggar sesuka hati.
"Kita tidak boleh hidup dalam keadaan tanpa peraturan, peraturan menjadikan kehidupan kita lebih berdisiplin dan memupuk rasa tanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri malah orang lain," katanya.
Selasa lalu, tular video di media sosial memaparkan motosikal milik seorang penghantar makanan disita dalam satu operasi dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan.
Tangkap layar yang tersebar di beberapa platform media sosial itu kemudiannya mendapat kecaman segelintir netizen yang menyalahkan tindakan diambil JPJ itu.
Bagaimanapun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan menerusi kenyataan pada Rabu memaklumkan sitaan tersebut dilakukan disebabkan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) telah tamat dan tiada insurans.
Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, sitaan dilakukan bertujuan menjaga keselamatan penunggang tersebut dan pengguna jalan raya lain kerana tidak dilindungi insurans.