Perkim perlu ubah persepsi hanya jaga mualaf

Iklan
Mohammad Kazim (dua dari kiri) menerima plak pelantikan Tokoh Agama Perkim Perak daripada Mohd Najmuddin pada Jumaat.

IPOH - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) perlu menggerakkan kekuatan dakwah kepada golongan anak muda, kata pendakwah terkemuka, Datuk Mohammad Kazim Elias.

Beliau berkata, penglibatan generasi baharu akan dapat membantu mengubah persepsi masyarakat bahawa badan agama itu hanya tertumpu kepada kebajikan mualaf dan dianggotai golongan telah berusia.

Iklan
Iklan

"Jadi sudah sampai masa Perkim menggunakan kepakaran yang ada mendekati anak muda dengan sebaran dakwah melalui platform digital dan media sosial yang kini menjadi saluran aktif golongan berkenaan," katanya selepas menerima watikah pelantikan sebagai Tokoh Agama Perkim Perak 2023-2025 di Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi dekat sini pada Jumaat.

Pengerusi Pusat Pendidikan Al-Barakah itu berazam menggunakan pengaruh dimiliki dalam membantu Perkim menyebarkan dakwah kepada anak muda di media sosial.

Iklan

Katanya, pelantikan sebagai tokoh agama juga memberi ruang kepada beliau untuk turun ke lapangan di setiap program dianjurkan Perkim.

"Perlu diperjelaskan bahawa Perkim ini bukan hanya untuk mualaf sahaja tetapi bawa ilmu, dakwah dan kebajikan untuk semua peringkat masyarakat," katanya.

Iklan

Sementara itu, Pengerusi Perkim Perak, Datuk Mohd Najmuddin Elias berkata, pemilihan Mohammad Kazim adalah bagi mendapatkan pandangan dalam bidang dakwah, pendidikan dan kebajikan.

"Kita gunakan kepakaran dan idea beliau untuk bantu aktiviti yang dijalankan Perkim.

"Menerusi lantikan ini juga, kita boleh gunakan fasiliti yang ada di pusat pendidikan ini, kadang-kadang kita sewa hotel mahal, jadi apa salah kita buat di sini, orang di sini pun dapat manfaat sama," katanya.