Tanah Perkuburan Islam Putra Heights atasi kepadatan pengebumian

Iklan
Mohd Fauzi menandatangani plak semasa Majlis Perasmian Perkuburan Islam Putra Heights, MBSJ di Jalan Kemboja, Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada Jumaat.

SUBANG JAYA - Tanah Perkuburan Islam Putra Heights, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) yang siap sepenuhnya pada Disember tahun lalu mampu menampung kegunaan tanah perkuburan yang semakin padat berikutan pertambahan populasi penduduk di bandar raya itu.

Datuk Bandar MBSJ, Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, peruntukan sebanyak RM6.7 juta itu mampu mengatasi masalah kepadatan yang berlaku di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya yang dijangka penuh pada tahun 2028.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tanah Perkuburan Islam USJ 22 Subang Jaya diselia MBSJ yang mempunyai keluasan 9.2 hektar itu diambil alih sepenuhnya sejak Disember tahun 2011.

"Angka ini dijangkakan akan meningkat berikutan populasi bandar raya yang semakin bertambah dan peratus penggunaan lot kubur semasa bagi kategori zon warganegara telah mencapai penggunaan sehingga 63.48 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perkuburan Islam PutraHeights, MBSJ di Jalan Kemboja, Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong pada Jumaat.

Mohd Fauzi memberitahu, melihat kepada pertambahan penggunaan tanah kubur itu, MBSJ dengan kerjasama Sime Darby Property Berhad selaku pemaju membangunkan tapak baharu seluas 13.4 hektar dengan jumlah keseluruhan lot kubur bagi kedua fasa adalah sebanyak 19,816 lot.

Iklan

Beliau berkata, pelaksanaan projek itu semestinya mampu menampung keperluan pengebumian yang semakin meningkat dalam tempoh 20 tahun akan datang.

"Tanah Perkuburan Islam Putra Heights, MBSJ ini juga turut dilengkapi dengan kemudahan bangunan pentadbiran, ruang serbaguna terbuka pelawat, bilik mandi jenazah, tandas lelaki, wanita dan orang kurang upaya (OKU).

"Selain itu turut disediakan bengkel pertukaran dan stor, surau lelaki dan wanita, 20 wakaf istirahat, pondok pengawal dan rumah sampah," tambahnya.

Menurut Mohd Fauzi, keperluan jentera dalam pengurusan jenazah turut ditambah baik yang dilengkapi satu unit mini ‘excavator’ bagi memudahkan proses pengebumian.

"Bukan sahaja kelengkapan fasiliti malahan tanah perkuburan ini turut mempunyai 30 petak letak kereta, dua petak khas OKU, 17 petak tempat letak motosikal, dua petak tempat letak bas dan satu petak van," jelasnya.

Selain itu, katanya, tanah perkuburan Islam baharu itu juga bakal mengaplikasikan kaedah pengurusan serta operasi sama seperti di Tanah Perkuburan USJ 22, Subang Jaya.

Beliau berkata, sistem E-Pusara diguna pakai bagi memudahkan waris mengenal pasti lokasi kubur ahli keluarga.

"MBSJ telah melaksanakan Sistem E-Pusara yang telah dibangunkan oleh Jabatan Teknologi Maklumat MBSJ bagi memudahkan carian dan semakan lokasi pusara boleh dibuat oleh waris pada bila-bila masa dengan hanya melayari laman sesawang MBSJ," ujarnya.