KUALA LUMPUR - Dua peniaga warga Bangladesh masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan membekalkan 612 unit pelbagai jenis barangan jenama tiruan bernilai lebih RM65,450, minggu lepas.
Mohammad Shakil, 29, dan Md Kaium Rahman, 26, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, dua lelaki itu didakwa bersama-sama didapati dalam jagaan mereka untuk pembekalan pelbagai barangan seperti pakaian, beg, selipar dan tali pinggang yang mempunyai cap dagang palsu dengan Louis Vuitton, Gucci, Chanel, Nike, Puma dan Levi’s seolah-olah barangan itu tertakluk kepada apa-apa hak yang berhubungan dengan cap dagangan berdaftar jenama-jenama tersebut.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di Lot No. B-1, No.41 & 43, tingkat bawah, Jalan Sultan Ismail, 50200 Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada kira-kira 1 tengah hari, 8 Mei lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8(2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 8(2)(B) akta sama yang dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan kedua atau berikutnya didenda sehingga RM20,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Putrajaya Rosedin Abdullah menawarkan jaminan RM30,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia ke atas Mohammad Shakil dengan alasan tertuduh mempunyai pasport manakala tertuduh Md Kaium tidak ditawarkan jaminan kerana tidak mempunyai pasport.
Bagaimanapun, Mohammad Shakil yang diwakili peguam S S Ruban memohon jaminan rendah kerana anak guamnya hanya membawa RM10,000 sahaja manakala Md Kaium diwakili peguam Mohammad Arifin Abdul Wahab.
Mahkamah kemudian membenarkan Mohammad Shakil diikat jamin RM25,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan lapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, manakala Md Kaium tidak dibenarkan diikat jamin.
Hakim Manira menetapkan 14 Jun untuk sebutan semula kes. - Bernama