Jalur Gemilang gergasi megah berkibar di puncak Gunung Baling

Iklan
Peserta memasang Jalur Gemilang di puncak Gunung Baling. - Foto: APM Kedah

BALING - Jalur Gemilang gergasi megah berkibar di puncak Gunung Baling dengan ketinggian 420 meter dari aras laut sempena meraikan Hari Kebangsaan ke-66 dan Hari Malaysia ke-60.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Baling, Leftenan Pertahanan Awam (PA) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, bendera bersaiz anggaran 3 meter lebar dan 15 meter panjang itu berjaya dinaikkan ke puncak pada jam 12.30 tengah hari Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, aktiviti santai itu bukan sahaja untuk beriadah, sebaliknya untuk memupuk semangat kebangsaan selain menghargai nilai kemerdekaan dalam kalangan peserta.

Jalur Gemilang megah berkibar di puncak Gunung Baling dengan ketinggian 420 meter dari aras laut.


"Program ini juga merupakan kolaboratif kami bersama penduduk Baling untuk merapatkan hubungan agensi dengan masyarakat setempat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Menurutnya, program seumpama juga dapat meningkatkan kerjasama antara agensi dan masyarakat dalam memupuk kecintaan kepada tanah air dalam masyarakat khususnya golongan belia.

"Jalur Gemilang yang cantik berkibar itu dijahit oleh pelajar Kolej Komuniti Baling menggunakan 66 helai bendera simbolik sambutan ke-66 kemerdekaan negara.

Peserta bergambar bersama Jalur Gemilang gergasi sebelum dibawa ke puncak Gunung Baling - Foto: APM Kedah

Iklan

"Ucapan terima kasih kepada rakan strategik yang menjayakan program ini iaitu, Pejabat ADUN Bayu, syarikat Harfa, Nasi Ketapang JMJ, Kopi Kurma Latte, Warung Mat Noi Route67 serta Persatuan Bulan Sabit Merah daerah Baling,” ujarnya.