REBANA Ubi yang pernah digunakan ketika majlis pembukaan Sukan Komanwel 1998 menjadi antara tarikan pada Pameran Ritma Muzik Malaysia yang kini berlangsung di Aras 5, Balai Pelepasan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pameran anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) dengan kerjasama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) itu turut mempamerkan lapan koleksi artifak antaranya Rebab, Sape, Sompoton, Bo, Tabla dan Baya, Serunai dan Gendang.
Turut dipamerkan juga 14 jenis objek alat muzik lain dalam Program Ritma Muzik Malaysia ini seperti Gambus Johor, Gambus Melayu, Angklung, Kompang, Gitar, Marakas dan banyak lagi.
Pengerusi MAHB, Tan Sri Zainun Ali berkata, program seumpama ini diadakan bertujuan untuk merangsang masyarakat setempat khususnya pengunjung di KLIA bagi menghayati erti sejarah, kebudayaan dan ketamadunan secara berterusan menerusi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.
Ujarnya lagi, penglibatan pengunjung yang menyertai program ini diharapkan dapat mencapai hasrat Dasar Perpaduan Negara iaitu untuk memupuk perpaduan.
"Sebagai pengendali lapangan terbang yang juga menjadi pintu masuk utama Malaysia, kami amat berbangga untuk memainkan peranan sebagai titik pertama kepada pengunjung yang ingin mengenali kekayaan budaya Malaysia dan berazam untuk lebih memperbanyakkan kolaborasi sebegini di lapangan terbang kendalian kami," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pameran ini berlangsung sejak 25 Ogos lalu bagi mengisi acara sempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dan dijangka berakhir pada 20 September ini di Terminal 1 KLIA dan 30 September 2023 di Terminal 2, KLIA.
Selain itu persembahan pentas seperti persembahan alat muzik Sape, Gambus dan kontemporari juga turut di susun bagi memeriahkan suasana sepanjang program ini berlangsung.
Aktiviti hands-on seperti DIY Alat Muzik Tamborin, DIY Wayang Kulit, aktiviti mewarna alat muzik, kempen derma koleksi, demonstrasi pembersihan alat muzik dan jualan buku muzium turut memeriahkan program Ritma Muzik Malaysia di Terminal 1 dan 2, KLIA.