PETALING JAYA - Keputusan sama ada penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman dipanggil membela diri atau dibebaskan atas tiga kes dadah akan diputuskan Mahkamah Sesyen di sini pada 3 Oktober depan.
Hakim, Faiz Dziyauddin menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin memberitahu, pendakwaan menutup kes selepas tujuh saksi selesai memberi keterangan dalam perbicaraan bermula 28 Ogos lalu.
Mahkamah memerintahkan semua pihak memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 29 September ini.
Pihak pembelaan mencadangkan, mahkamah menetapkan tarikh bela diri lebih awal, sekiranya Yasin, 47, diarahkan berbuat demikian.
Faiz kemudiannya menetapkan prosiding berkenaan dibuat pada 17 dan 27 Oktober depan.
Semasa prosiding, Raja Zaizul Faridah berkata, seramai tujuh saksi ditawarkan kepada pihak pembelaan antaranya doktor dan anggota polis.
Bagaimanapun, peguam, Nur'ain Shahiera Khalid yang mewakili Yasin berkata, pembelaan tidak memerlukan saksi yang ditawarkan itu.
Semasa prosiding, seorang pegawai penyiasat (ketika itu) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya memberitahu bahawa, Yasin berada dalam keadaan baik, sihat dan menjawab soalan dengan baik ketika siasatan dijalankan.
Saksi pendakwaan keenam, Inspektor Muhammad Amirul Mukmin Aziz berkata, penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi Laila itu juga tidak menunjukkan tanda-tanda kecelaruan atau tidak waras sepanjang ditahan reman selama tujuh hari.
"Tertuduh memberi kerjasama ketika siasatan dijalankan malah, dia juga mampu mengikuti arahan dengan baik ketika dalam tahanan,” katanya.
Pada 6 Julai tahun lalu, Yasin bernasib baik apabila tidak berdepan peruntukan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 214 gram.
Ia selepas pendakwaan memaklumkan pertuduhan mengedar dadah ditarik balik dan penyanyi itu dituduh semula atas pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini jam 5.30 petang pada 24 Mac 2022 dan dituduh mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Ia memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun penjara dan tidak kurang 10 sebatan.
Sementara itu, bagi satu lagi pertuduhan, Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6B(1)(a) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama kanun keseksaan yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Muhammad Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.