SUBANG JAYA – Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub menerima Anugerah Content Innovator dalam World Islamic Tourism Award (WITA) yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
World Islamic Tourism Award (WITA) 2023 dianjurkan bagi menghargai mereka yang menyumbang kepada kejayaan dalam industri pelancongan Islam.
Sebanyak 55 anugerah diberikan kepada individu dan pemain industri yang bekerja keras memastikan industri pelancongan Islam di rantau ini terus pada tahap terbaik.
Hussamuddin diwakili Pengurus Kanan Tugas Tugas Khasnya, Hashim Anang menerima anugerah itu yang disampaikan oleh Che Puan Temenggong Perlis, Datin Seri Diraja Farinawati Datuk Mohd Din.
"Penerima anugerah ini telah dipilih dengan teliti menerusi piawaian pematuhan yang ditetapkan oleh panel pemilih WITA yang masing-masing berpengalaman lebih daripada 30 tahun dalam industri pelancongan.
"WITA pertama ini pasti akan memberi inspirasi kepada pemain pelancongan Islam global untuk bekerja lebih keras.
"Tahniah kepada wira pelancongan Islam yang diberi penghormatan menerima anugerah paling berprestij ini," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia Mata, Datuk Dr Mohd Khalid Harun melahirkan rasa bangga terhadap kejayaan penganjuran WITA.
"Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang memastikan kelancaran program ini,” ujarnya.
Dalam majlis itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad turut menerima Anugerah Global Islamic Leader yang disampaikan oleh Mohd Khalid.