Ulang tahun kelapan Amanah: Ahli perlu pamer akhlak mulia

Iklan
Mohamad Sabu - Foto: Bernama

SHAH ALAM - Semua ahli Parti Amanah Negara (Amanah) diingatkan agar sentiasa mempamerkan akhlak yang mulia dan menjauhi amalan takfiri, label-melabel serta keji-mengeji sesama insan.

Pesanan itu disampaikan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu menerusi laman Facebook miliknya sempena menyambut ulang tahun kelapan penubuhan parti tersebut.

Iklan
Iklan

Mohamad berkata, ia sepertimana yang diajar oleh baginda Rasulullah SAW semua pihak harus budayakan politik matang, berintegriti dan hujah yang bersandarkan fakta serta kebenaran.

"Banyak lagi usaha perlu dibuat untuk mencapai matlamat ini. Sejak dari mula tertubuhnya Amanah sehingga ke hari ini, banyak ujian dan dugaan yang telah kita tempuhi," katanya pada Sabtu.

Iklan

Beliau turut mengucapkan rasa syukur kerana Amanah sentiasa istiqamah dalam memartabatkan Islam.

"Alhamdulillah semangat kita semua tak pernah luntur. Dari setahun ke setahun kita terus istiqamah untuk memartabatkan Islam sebagai agama yang membawa rahmat untuk semua.

Iklan

"Dahulu ada kata Amanah ini hanya parti nyamuk, yang riwayatnya tidak akan lebih dua tahun.

"Hari ini, 16 September 2023, kita semua bersyukur dan berbangga untuk menyambut ulang tahun kelapan penubuhan Parti Amanah Negara. Selamat menyambut ulang tahun Amanah kelapan buat semua," jelasnya.