Tiga beranak maut dirempuh lori pasir

Iklan
Gambar kenangan Ammir Hussein Mohamad bersama ahli keluarganya.

KEMAMAN - Tiga beranak maut manakala dua lagi cedera selepas kenderaan dinaiki mereka sekeluarga dirempuh sebuah lori pasir di Kilometer 154, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Simpang 4, Jalan Mak Lagam-Cheneh di sini, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, mangsa yang maut ialah Ammir Hussein Mohamad, 38, dan dua anak lelakinya, Ammzar Husszair Al Hussein, 4, serta Ammzar Hussnayan Al Hussein, 1.

Iklan
Iklan

Menurutnya, isteri Ammir Hussein, Norhafizah Sazwa Harun, 38, yang sedang hamil mengalami kecederaan di bahagian perut manakala anak angkat mereka, Ammzar Hussniah Ammir Hussein Abdul Azim, 8, masih tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Kemaman.

"Dalam kejadian kira-kira 2 petang itu, Norhafizah Sazwa yang memandu kereta bersama empat ahli keluarganya sedang dalam perjalanan dari kediaman mereka menghala ke Cheneh untuk menghantar sabun jualan.

Iklan

"Apabila tiba di lokasi kejadian, sebuah lori pasir jenis Nisan yang dipandu lelaki berusia 44 tahun dari arah Mak Lagam menghala ke Ladang Perwira, Cheneh tiba-tiba keluar dari simpang kiri secara mengejut berikutan brek gagal berfungsi sehingga merempuh kenderaan dinaiki keluarga berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Sabtu.

Hanyan berkata, Ammir Hussein maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala manakala kedua-dua anaknya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kemaman.

Iklan

Menurutnya, pemandu lori itu tidak mengalami sebarang kecederaan selain ujian saringan air kencing mendapati dia bebas daripada sebarang penggunaan dadah dan tiada rekod jenayah lampau.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," jelasnya.

Sementara itu, jenazah Ammir Hussein dan dua anak lelakinya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Jabur Kubur di sini, kira-kira jam 1.30 pagi tadi.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Surau Taman Dato, Chukai di sini, kira-kira jam 12.15 malam selepas selesai proses bedah siasat.