SHAH ALAM - Gabungan antara wilayah yang membentuk Malaysia akan terus utuh selagi pemimpin dan pemikir yakin bahawa bersatu itu teguh dan bercerai akan roboh.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dalam tempoh 60 tahun bersama dalam sebuah gabungan, sudah tentu ada ketikanya rasa kurang senang di antara satu sama lain.
Bagaimanapun katanya, ia adalah perkara biasa di dalam mana-mana penyatuan wilayah-wilayah berbeza.
"Enam dekad bukan satu tempoh masa yang singkat dan dalam tempoh tersebut, banyak yang kita lalui bersama. Ada kenangan manis dan tak kurang juga yang pahit.
"Apa pun, amat perlu kita toleh ke belakang apabila kita mahu maju ke hadapan. Tujuan asal kita tubuh Malaysia adalah untuk pastikan pengaruh komunis tidak bertapak di Semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.
"Walaupun Singapura bukan sebahagian kita lagi, tetapi ke semua kita telah berjaya menyekat komunis bertapak. Kita juga setuju untuk bersama sebagai usaha ke arah kemerdekaan Sabah dan Sarawak. Ini juga telah kita capai,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaysia pada Sabtu.
Tambah negarawan itu, hasil yang diharap daripada gabungan ini adalah dapat mengembangkan ekonomi dan membangun bersama.
Justeru, beliau mengharapkan rakyat menyambut Hari Malaysia dalam semangat sedemikian, yang menjadi asas kepada gabungan ini.
"Kesatuan kita di dalam kepelbagaian dan kepelbagaian kita di dalam kesatuan. Ini kita sambut tanpa ketepikan asal-usul dan menafikan sejarah pembentukan negara bangsa ini.
"Selamat Hari Malaysia. Semoga ALLAH memberi keberkatan kepada kita semua,” jelasnya.