KOTA BHARU - Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menggunakan hotel bajet di sini, sebagai rumah transit digempur pada Rabu lalu.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, Op Gelombang V pada jam 10.20 pagi yang dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya dan Kelantan itu berjaya menahan 51 PATI termasuk enam wanita serta empat kanak-kanak.
Menurutnya, PATI terdiri daripada 43 warga India, Pakistan (2) dan Thailand (6) yang kesemuanya berusia lingkungan dua hingga 60 tahun.
"JIM turut menahan ahli sindiket iaitu lima lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemilik hotel bajet, penjaga premis dan transporter berusia lingkungan 23 hingga 57 tahun.
"PATI terutamanya warga India dipercayai memasuki negara ini melalui negara jiran dengan menggunakan laluan haram di sempadan sebelum diangkut oleh transporter tempatan dan akan dikumpulkan di rumah transit (hotel bajet) ini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati sindiket mengenakan bayaran antara RM8,000 hingga RM10,000 bagi setiap seorang PATI.
Katanya, sindiket dipercayai aktif sejak pertengahan tahun lalu dan menyasarkan PATI berasal dari India yang ingin memasuki negara ini untuk merebut peluang pekerjaan secara haram.
"Dalam operasi ini, JIM turut merampas wang tunai sebanyak RM5,300, 42 pasport negara India dan empat buah kenderaan terdiri daripada kereta sedan dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang digunakan untuk mengangkut PATI ke lokasi transit," ujarnya.
Tambah Ruslin, kesemua PATI ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah, Kelantan, manakala lima lelaki tempatan telah direman selama enam hari.
Tegasnya, JIM akan membanteras habis-habisan sindiket penyeludupan manusia dalam menguatkuasakan undang-undang demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
"Tindakan tegas akan dikenakan ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007," katanya.